Nasionalpilihan

Pulau “dikuasai” Melayu di Coconut Island, Phuket, teruja dikunjungi Raja Muda

RENTAS lautan menuju ke sebuah pulau dalam program Ziarah Mahabbah sangat ditunggu oleh ahli delegasi yang ingin merasai pengalaman meneroka sebuah perkampungan Melayu beragama Islam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai program ini diiringi oleh anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail serta 35 delegasi anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Program Ziarah Mahabbah Edisi Ke-7 di Wilayah Phuket dari 7 hingga 9 Ogos pada kali ini adalah bagi melestari falsafah Ummatan Wahidah melalui perkongsian pintar di dalam pelbagai bidang iaitu kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam.

Sebagai persediaan menuju ke Coconut Island, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berpesan semua delegasi mesti berada di bas tepat pukul 8 pagi.

Sekalipun perlu berjalan kaki kira-kira 200 meter di jambatan untuk menuju ke bot, masing-masing mempamerkan muka ceria.

Jeti Coconut Island

Melihatkan bot sudah menunggu maka bergandalah kegembiraan di hati masing-masing untuk menuju ke Coconut Island yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Sebaik tiba di jeti Coconut Island, semua menaiki kenderaan ‘tut tut’ yang menjadi pengangkutan utama di pulau ini.

Ada yang dilihat agak bimbang pada keselamatan masing-masing apabila kenderaan ini perlu membelok selekoh, mendaki dan menuruni jalan yang curam.

Semua delegasi rasa lega apabila disambut meriah oleh penduduk di sini, rata-rata sudah memenuhi
kerusi yang disediakan dengan wajah tenang.

Sekalipun dilihat ramai kanak-kanak tetapi apa yang menarik, tiada yang dilihat berlari ke sana ke sini, menangis atau membuang bising.

Yang masih kecil pula duduk diam di pangkuan ibu masing-masing tanpa merengek.

Selesai sesi penerangan mengenai program ini, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan RM5,500 kepada imam masjid dan plaka sebagai tanda lawatan.

Sesuai dengan nama Coconut Island, sudah pasti delegasi dijamu dengan air kelapa yang segar.

Mohd Nazim Mohd Noor bersama kanak-kanak di Coconut Island

Tidak cukup dengan itu, kaum wanita menyediakan kuih tradisional seperti tepung bungkus yang sangat berbeza bentuk balutannya berbanding di Malaysia.

Juga ada pulut dakap (pulut pisang) dan karipap yang dihasilkan oleh wanita di sini secara gotong royong bagi hidangan untuk delegasi Ziarah Mahabbah.

Sempena pertemuan ini, MAIPs membahagikan kumpulan lelaki, kanak-kanak dan wanita untuk diterangkan memgenai kesihatan, motivasi dan keagamaan.

Ternyata penduduk di sini yang rata-ratanya mencari rezeki dengan menoreh getah, nelayan dan membawa tut tut hidup dengan tenang di pulau yang indah ini.

Sekalipun lebih 90 peratus berbangsa Melayu, sayangnya penggunaan bahasa ibunda ini di kalangan mereka sudah pupus.

Bagai bercakap “dengan ayam dan itik” tetapi raut wajah mereka sangat menghargai kehadiran Raja Muda Perlis dan anakanda Baginda serta delegasi.

Tambahan pula apabila Tuanku Syed Faizuddin dan anakanda sudi memcemar duli menyantuni mereka.

Lawatan yang singkat ini digunakan oleh Raja Muda untuk berinteraksi dengan penduduk kampung yang dilihat begitu teruja di atas kunjungan golongan Diraja ke kepulauan ini. – SM

Artikel berkaitan > Raja Muda Perlis lawat Masjid Centre, Phuket akhiri Ziarah Mahabbah

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button