Politik

Proklamasi Orang Melayu bukan tolak hak kaum lain

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu bukanlah untuk menolak hak kaum lain, sebaliknya untuk membantu masalah yang dihadapi oleh bangsa itu.

Jelas Dr Mahathir, orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan banyak masalah terutama kemiskinan.

“Rata-rata mereka (orang Melayu) miskin dan kerana kemiskinan golongan berkenaan berhadapan dengan banyak masalah.

“Jadi usaha pertama yang kita lakukan adalah untuk mengeluarkan satu proklamasi yang menyenaraikan 12 daripada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu,” katanya pada sidang media Mesyuarat Tertutup Rundingan Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, selama lebih 60 tahun kerajaan Malaysia didominasi oleh orang Melayu dan ketika zaman orang Melayu menguasai politik Malaysia, bangsa lain menunjukkan perubahan ke arah kejayaan.

“Pada ketika itu kita dapat melihat bahawa ramai orang Cina berjaya sehingga menjadi pengusaha dunia dalam masa pemerintahan oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Mahathir memaklumkan proklamasi dibuat adalah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa kedudukan mereka tidak begitu kuat, lemah dan kini menjadi semakin goyah.

Jelasnya, satu gerakan mesti dilakukan untuk mengatasi masalah orang Melayu.

“Satu gerakan mesti diadakan untuk mencantum semua orang, parti, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir berkenaan masa depan bangsa (Melayu) ini.

“Sebab itu kita perlu ada pengaruh dalam kerajaan yang mampu menangani masalah orang Melayu,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya sedia bekerjasama bukan sahaja dalam pilihan raya tetapi juga di lain waktu bagi memastikan usaha proklamasi tidak menemui kegagalan. – SM

BACA Sokongan Pejuang penting untuk Proklamasi Melayu

BACA Dr. Mahathir disoal siasat berkaitan Proklamasi Melayu

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button