Hiburan

Projek prekuel Mat Kilau tanpa Syamsul, Adi Putra, Beto

STUDIO Kembara akan melaksanakan projek filem prekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tetapi Mat Kilau kali ini tidak akan menampilkan tiga tunjang utama iaitu pengarah, Syamsul Yusof; Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy.

Penerbitnya, Abdul Rahman Mt Dali berkata, ini kerana watak Mat Kilau Imam Rasu lakonan Adi dan Wahid oleh  Beto dalam filem Mat Kilau sebelum ini tidak ada kena mengena dengan jalan cerita projek prekuel naskhah berkenaan.

“Memang ada beberapa pelakon sudah ditawarkan watak kecuali Adi Putra dan Beto kerana watak mereka masih belum diperlukan dalam projek prekuel itu.

“Ketiadaan Syamsul pula disebabkan syarikat mahu memberi peluang kepada pengarah lain.

“Kami tiada masalah, cuma, kali ini mahu memberi peluang kepada pengarah baharu untuk berkarya bersama Studio Kembara bagi memeriahkan lagi industri perfileman,” katanya ditemui pada majlis Studio Kembara Santai Bersama Media seperti yang dipetik dari BHOnline.

Kata Abdul Rahman ketiadaan Adi, Beto dan Syamsul bukan berpunca hubungan keruh antara mereka.

Mengakui mereka sudah lama tidak berkomunikasi kerana sibuk, namun katanya, hubungan mereka tidak ada masalah kerana masing-masing bersikap profesional.

Projek prekuel Mat KIlau itu kata Abdul Rahman akan mula menjalani penggambaran akhir tahun ini atau selewat-lewatnya, awal tahun depan.

“Ada pelakon yang sudah kami buat tawaran dan mereka bersetuju. Malah, kami juga sudah membayar wang pendahuluan,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian bonus atas kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan hampir RM100 juta, Abdul Rahman berjanji mengotakannya.

“Sebelum agih imbuhan atau bonus, saya akan bawa pelakon mengerjakan umrah.

“Fasa kedua pula adalah memberi sumbangan dua mesin dialisis untuk kegunaan masyarakat.

“Ini dianggap tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat. Kemudian, barulah kita agih imbuhan kepada pasukan kerja filem Mat Kilau.

“Setiap daripada mereka akan menerima jumlah imbuhan berbeza dan berdasarkan prestasi,” katanya.

Filem Mat Kilau yang merekodkan kutipan RM97 juta sejak ditayangkan 23 Jun lalu muncul filem tempatan yang mencapai jualan tiket tertinggi dalam sejarah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button