Nasional

Program Nur@Petra sedia rebat RM70 juta bagi pembelian alat elektrik cekap tenaga

KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program NIKMAT
UNTUK RAKYAT PETRA (NUR@PETRA) yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan dan Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) yang terletak di bawah PETRA dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM70 juta.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Petra Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, program NUR@PETRA merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang sebelum ini terhad kepada pengguna elektrik domestik sahaja.

“Bagi menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik membeli dan menggunakan peralatan cekap tenaga, program ini telah dijenamakan semula serta diperluaskan manfaat dan kumpulan sasarnya merangkumi
pihak industri, komersial termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) akan berperanan sebagai agensi pelaksana Program NUR@PETRA dan terbahagi kepada tiga  kategori,” katanya dalam satu kenyataan.

Kategori tersebut ialah dikhaskan untuk pengguna domestik dengan tawaran e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga dan diperuntukkan sebanyak 200,000 unit rebat secara ‘first come first served basis’;

Kategori Kedua pula dikhaskan untuk PMKS dengan pemberian e- rebat sehingga RM4,000 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.

Menurut Fadillah, PETRA menjangkakan hampir 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada program ini;

Katanya,kategori Ketiga menyediakan e-rebat khusus untuk pengguna elektrik industri dan komersial bagi pembelian chiller cekap tenaga untuk kegunaan penyaman udara (comfort cooling) sahaja.

“Lebih 300 entiti perniagaan akan berpeluang meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor industri dan
komersial,” katanya.

Permohonan e-rebat untuk Program NUR@PETRA bagi Kategori Pertama akan mula dibuka pada 31 Januari 2025. Bagi Kategori Kedua, permohonan e-rebat bermula pada 15 Februari 2025.

Manakala, permohonan rebat untuk Kategori Ketiga akan dibuka pada 1 Mac 2025.

Pelaksanaan Program NUR@PETRA ini mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 3,910 Gigawatt jam bersamaan dengan RM2.23 bilion bagi tempoh 10 tahun dan akan menyumbang kepada pengurangan sebanyak 3.0 juta tan karbon dioksida, tertakluk kepada jangka hayat dan kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai kriteria, kelayakan, cara permohonan, mekanisma pelaksanaan serta senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga di bawah Program NUR@PETRA boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di pautan www.seda.gov.my/nur. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button