BeritaEkonomi

Program kemas kini pemegang unit ASNB

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) sedang melaksanakan proses mengemas kini butiran peribadi pemegang unit sebagai mandatori bermula 11 November lalu.

Ini bermakna semua pemegang unit perlu mengemas kini butiran peribadi apabila berurusan di mana-mana cawangan atau ejen ASNB jika mereka belum berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pemegang unit yang telah mempunyai akaun portal myASNB juga perlu mengemas kini butiran peribadi masing-masing semasa log masuk ke portal itu.

“Keperluan untuk mengemas kini butiran ini juga adalah selari dengan ketetapan pihak kawal selia industri yang menetapkan supaya butiran peribadi sentiasa dikemas kini untuk melindungi maklumat dan urus niaga pemegang unit.

“Langkah ini bertujuan memastikan ASNB mempunyai pangkalan data pemegang unit yang lengkap dan terkini dalam usaha syarikat untuk menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selain melindungi akaun mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pangkalan data pemegang unit yang dikemas kini akan membolehkan ASNB memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bernilai tambah kepada pemegang unit.

“Pemegang unit yang telah mengemas kini butiran peribadi juga boleh menggunakan kemudahan dalam talian yang ditawarkan menerusi portal myASNB (www.myasnb.com.my) secara percuma termasuk pelaburan tambahan, bulanan automatik menerusi auto labur dan semakan urus niaga serta baki terkini,” katanya.

Selain itu katanya, dengan maklumat pemegang unit yang terkini, ASNB mempunyai keupayaan untuk mengesan dan melindungi akaun pemegang unit dari sebarang urus niaga mencurigakan selain pemegang unit juga boleh dihubungi apabila perlu.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad menambah, selaras dengan pelaksanaan program kemas kini butiran peribadi ini, pihaknya menjangkakan tempoh untuk berurus niaga di cawangan ASNB atau ejen ASNB akan mengambil sedikit masa berbanding biasa.

“Ini kerana pegawai kami perlu mengemas kini dan mengesahkan data peribadi pemegang unit secara masa nyata (real time) untuk disahkan sendiri pemegang unit bagi memastikan tidak berlaku penipuan terutamanya oleh pihak ketiga.

“Langkah ini juga untuk memastikan perlindungan data peribadi pemegang unit sentiasa berada pada tahap tertinggi. Sehubungan itu, kami memohon supaya pemegang unit bekerjasama dengan memberikan maklumat yang betul supaya proses kemas kini ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pelaksanaan program ini, pemegang unit ASNB boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899 atau e-mel [email protected] atau Facebook Amanah Saham Nasional Berhad dan ASNBTweet.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button