Ekonomi

Program e-Tunai Rakyat: Data peribadi disimpan secara sulit oleh Khazanah Nasional – Lim

KUCHING, 17 Jan — Semua data peribadi yang diterima menerusi program e-Tunai Rakyat akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Khazanah Nasional Berhad adalah sebuah syarikat pelaburan dana kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan dan semua data diperolehnya adalah sama seperti yang dimiliki oleh kerajaan.

“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh.

“Ia bernilai kepada syarakat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” katanya pada sidang media selepas mempromosi Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat kepada warga Kuching di pusat membeli-belah The Spring, di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Lim meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab kononnya program itu adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.

“Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan,” tambahnya.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Lim berkata setakat ini lebih 800,000 permohonan telah diluluskan dan RM24 juta dibelanjakan.

Inisiatif berkenaan diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button