Politik

PRN Sabah: Apakah nasib 14 Adun lompat parti?

SENTIMEN terhdap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang lompat parti dilihat menjadi agak sensitif bagi rakyat negeri itu.

Ini kerana wujud persoalan sama ada mereka wajar diberi kepercayaan lagi ataupun tidak untuk bertanding dalam PRN Sabah.

Malah ADUN berkenaan dilihat memberikan keyakinan bahawa mereka diberi ruang untuk bertanding dalam pilihan raya di negeri itu pada 26 September nanti.

14 ADUN berkenaan adalah Datuk Hamisa Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Kenny Chua (Inanam) dan Datuk Muis Picho (Sebatik)

Selain itu, Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut), Abdul Rahman Kangkawang (Labuk), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Datuk Saddi Abd. Rahman (Sukau).

Turut melompat parti adalah, Datuk Anita Beranting (Tandek), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sungut).

Menerusi satu analisis yang diterbitkan akhbar Sinar Harian hari ini, kenyataan Jamawi Jaafar dipetik sebagai berkata dakwaan khianat mandat adalah tidak benar.

Ini kerana menurutnya, dakwaan sedemikian adalah bagi mereka yang tidak faham senario politik yang berbeza berbanding negeri lain.

“Di sebalik dakwaan kami kihanat mandat rakyat, ramai tidak menyedari bahawa senario politik Sabah berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

Jamawi Jaafar
Jamawi Jaafar

“Kerana politik pembangunan rakyat lebih penting daripada politik kepartian.

“Hakikat sebenar rakyat sabah sebenarnya lebih gembira kami kembali ke ‘rumah asal’ kerana tindakan politik itu akan memastikan projek pembangunan di kawasan mereka tidak terjejas.”

Kata beliau mengulas dakwaan kemungkinan kepimpinan BN tidak membuka ruang kepada ADUN yang lompat parti untuk kembali bersama gabungan itu.

Sebelum ini, Jamawi melompat parti daripada UMNO (BN) kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Namun, beliau dilihat kembali ke BN dalam PRN Sabah. Walau bagaimanapun, kedudukannya tidak dapat dipastikan sama ada diletakkan sebagai calon atau sebaliknya.

Tetapi, beliau juga memaklumkan dihubungi Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin bagi membincangkan pemilihan calon.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg menjangkakan empat ADUN yang lompat parti akan dipilih sebagai calon.

Jangkaan sedemikian berdasarkan sokongan yang diberikan kepada kem bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Di sebalik dakwaan rakyat Sabah bakal menolak wakil rakyat lompat parti, isu itu sebenarnya bukan kritikal kerana senario itu sebenarnya sudah lama berlaku di negeri itu.

“Bagi saya, rakyat lebih memilih calon atas faktor kemampuan mereka memberi perubahan kepada kehidpuan pengundi, bukan isu retorik seperti lompat parti,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah selepas beberapa ADUN berpaling dan menyokong Musa.

Bagi menghadapi PRN Sabah tidak lama lagi, hari ini BN dan Perikatan Nasional serta Warisan mengumumkan calon masing-masing sempena penamaan calon pada 12 September ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button