PRN Melaka: Tidak ada lagi soal jawab nak bersama siapa-siapa – Mohamad
UMNO, MCA dan MIC yang menjadi komponen Barisan Nasional sepakat untuk meletakkan calon di semua Dewan Udangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka nanti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, BN tidak akan melakukan kerjasama dengan mana-mana parti dalam pilihan raya berkenaan.
Katanya, UMNO akan meletakkan calon di 20 kerusi, MCA sebanyak 7 calon dan MIC mengekalkan satu kerusi.
“Kita akan menggunakan logo sendiri sebagai sebuah parti yang melambangkan kemajmukan masyarakat berbilang kaum negara kita ini.
“Jadi saya ingin memaklumkan Barisan Nasional akan pergi bersendirian. Tidak ada lagi soal jawab sama ada nak bersama siapa-siapa. Sehubungan itu BN akan menurunkan 28 calon di 28 Dewan Undangan Negeri.
“Pembahagian kerusi pun kita buat dengan teliti dengan cermat walaupun bertengkar, bergaduh, biasalah pembahagian kerusi. Tetapi inilah merupakan keunikan BN bahawa kita bersetuju bahawa setiap parti akan mewakili parti masing-masing,” katanya.
Bercakap dalam Majlis Pengumuman Calon hari ini, Mohamad berkata, BN akan menampilkan 86 peratus muka baharu dan hanya empat penyandang jawatan dikekalkan.
Tambahnya, 28 peratus calon berumur bawah 45 tahun dan menampilkan lima calon wanita iaitu empat daripada UMNO dan satu daripada MCA.
Bertemakan Kestabilan Demi kemakmuran, BN turut membuat pembaharuan pada PRN Melaka dengan semua calon perlu menandatangi perjanjian untuk memastikan mereka tidak melompat parti selepas memperoleh kemenangan.
“Sesuai dengan tema Kestabilan Demi kemakmuran buat pertama kali dan bagi memastikan stabilan politik dapat dicapai agar kesejahteraan rakyat tidak diperjudikan oleh mainan politik yang tidak bermaruah dan tidak bermoral kesemua calon BN pada PRN ini perlu menandatangani perjanjian untuk tidak melakukan tindakan melompat parti.
“Dan akan dikenakan tindakan undang-undang sesuai dengan terma perjanjian yang ditandatangani. Kita belum boleh bawa usul ke dalam parlimen dan DUN, maka untuk BN memastikan selaras dengan tema calon-calon BN akan menandatangani perjanjian. Ada tiga perjanjian yang meliputi segala aspek undang-undang,” katanya.
Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang akan bertanding di DUN Lendu kekal menjadi calon Ketua Menteri Melaka sekiranya BN menang pada PRN nanti.-SM