NasionalPolitik

PRN Melaka: Pengundi diminta semak waktu mengundi, patuhi SOP – SPR

SEBANYAK 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 12,290 orang ditugaskan bagi proses pengundian esok.

Seramai 476,037 orang pengundi bakal mengundi di PRU DUN Melaka ke-15 dan semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Setiausaha Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menasihatkan pengundi untuk keluar mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat dalam aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal semasa mengundi.

Katanya, pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dan pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi di empat stesen dalam pusat pengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

“Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” jelasnya.

Dalam pada itu, majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain selepas tempoh tersebut berakhir.

“Semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, Ikmalrudin Ishak menegaskan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas tidak memakai baju atau sebarang pakaian yang mempunyai gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami berharap semua pihak dapat mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Ikmalrudin Ishak turut mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat sehingga pukul 11.59 malam ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button