Luar Negara

Lebih 1,000 manatee mati kelaparan di Florida sepanjang tahun ini

LEBIH daripada 1,000 Manatee di Florida, Amerika Syarikat telah mati pada tahun ini.
Jumlah tersebut merupakan jumlah kematian Manatee tertinggi yang direkodkan dalam beberapa dekad.

Menurut laporan kematian daripada Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC), sehingga 12 November, sebanyak 1,003 Manatee telah mati di negeri tersebut.

Punca utama kematian Manatee pada tahun ini adalah kerana kelaparan, kata FWC dalam satu kenyataan minggu lalu.

Menurut laporan CCN, FWC telah mengisytiharkan fenomena tersebut sebagai kejadian luar biasa kerana jumlah kematian tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pada tahun lalu, sebanyak 498 Manatee telah mati dan jumlah tersebut meningkat lebih daripada dua kali ganda pada tahun ini.

Ketika temu bual awal bulan ini, Michael Walsh, profesor klinikal kesihatan haiwan akuatik di Kolej Perubatan Veterinar Universiti Florida berkata, bahawa lonjakan kematian Manatee tahun ini menunjukkan masalah yang lebih mendalam dalam ekosistem marin yang didiami haiwan tersebut.

Di Brevard County mencatatkan jumlah kematian Manatee tertinggi tahun ini iaitu lebih 320 ekor.

Ini kerana, Indian River Lagoon yang merupakan tempat perlindungan air suam yang popular untuk Manatee telah kehilangan anggaran 58 peratus rumput laut sejak 11 tahun yang lalu, menurut Daerah Pengurusan Air Sungai St. Johns, sebuah agensi kawal selia yang menyelia lagun itu.

Rumput laut merupakan sumber makanan penting untuk “lembu laut” Florida tersebut.

Kekurangan rumput laut tersebut disebabkan oleh bunga alga yang berbahaya, yang terbentuk apabila nutrien daripada air buangan, mikroplastik atau bahan kimia toksik meresap ke dalam habitat marin Manatee.

Bunga-bunga itu menutupi permukaan air dan telah menghalang cahaya matahari daripada sampai ke rumput laut.

“Banyak persekitaran kita berada di bawah tekanan, dan jika kita tidak melegakan tekanan itu, sistem tersebut akan pecah.

“Ini adalah tanda amaran bahawa ekosistem berada dalam masalah besar, bukan hanya masalah Manatee,” katanya

ZooTampa, Lowry Park yang merupakan salah satu daripada empat pusat penjagaan kritikal Manatee di AS meminta Manatee disenaraikan semula sebagai spesies terancam apabila jumlah kematian Manatee semakin meningkat

“Menukar kembali status Manatee kepada terancam dapat memberi tumpuan untuk melindungi spesies ini,” kata ZooTampa dalam satu kenyataan yang dikongsikan kepada CNN.

Menurut ZooTampa, kehilangan lebih 1000 Manatee pada tahun ini amat membimbangkan dan akan memberi kesan serius untuk tahun-tahun akan datang.

FWC berkata, mereka akan meneruskan penyiasatan menyeluruh dan akan memantau keadaan dengan teliti apabila Manatee berpindah ke habitat air suam mereka untuk musim sejuk. -SM

(Visited 640 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button