AnalisisPolitik

PRN Johor untuk UMNO dapatkan mandat baharu

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor diadakan untuk UMNO mendapatkan mandat baharu daripada rakyat. Ini bermakna pemilihan UMNO juga perlu disegerakan untuk Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan mandat baharu daripada ahl-ahli UMNO.

Pada pandangan Datuk Saiful Bahar, penganalisa politik kepada SUARA MERDEKA lewat malam tadi, amat menarik sehari dua ini melihat dan mendengar wawancara dengan pemimpin-pemimpin UMNO Negeri Johor dan Kebangsaan di Bernama TV.

Juga di platform media sosial mengenai betapa pentingnya PRN Johor diadakan segera kerana Kerajaan Negeri itu memerlukan mandat yang baharu daripada rakyat.

Tiba-tiba terfikir oleh saya bahawa Presiden UMNO sekarang iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga telah tamat mandat sebagai Presiden parti pada bulan Mei 2021 yang lalu.

Pemilihan UMNO tidak diadakan pada ketika itu kerana angka pandemik Covid-19 sedang mengganas dan bukan kerana Presiden UMNO mahu memegang kuasa pemerintahan parti lebih lama.

Rasa-rasanya adalah lebih baik apabila pemimpin-pemimpin UMNO Negeri Johor membicarakan PRN Johor yang memerlukan satu mandat baharu.

Presiden UMNO itu juga dilihat memerlukan satu mandat yang baharu dan berilah peluang kepda ahli-ahli UMNO untuk membuat pilihan.

Tanpa rasa segan silu atau rasa malu, satu persoalan perlu ditanya kepada seluruh ahli UMNO.

(i) Samada mereka mahu mengekalkan jawatan Presiden UMNO ini kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar beliau diberi mandat untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Presiden UMNO untuk Penggal Kedua serta menerajui kepimpinan parti ketika berhadapan dengan Pilihanraya Umum Negara Ke-15 (PRU15) nanti ataupun:-

(ii) Ahli-ahli UMNO mahukan seorang Presiden  parti yang baharu iaitu Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kalau inilah pilihan ahli-ahli UMNO, bermakna ahli-ahli parti di peringkat akar umbi mahu menyatukan individu yang menyandang jawatan Perdana Menteri, juga dilantik sebagai Presiden UMNO agar individu tersebut akan meneraju kepimpinan parti berhadapan dengan PRU15 kelak.

Pilihan serta kesempatan ini perlu diberi kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi dan sekiranya Pilihanraya-Pilihanraya Negeri di Melaka, Sarawak dan terkini di Johor boleh diadakan maka sudah tidak ada alasan lagi untuk Pemilihan UMNO ditangguhkan lagi.

Sebagai ahli UMNO, saya merasakan Pemilihan UMNO perlu diadakan segera. Paling lewat pada bulan Mei 2022 ini bagi menyelesaikan persoalan MANDAT BAHARU kepada PRESIDEN UMNO.

Sesungguhnya demokrasi dalam parti UMNO memanggil Pemilihan UMNO diadakan segera agar ahli-ahlinya boleh memilih dan membuat pilihan siapakah yang mereka mahukan menerajui Parti UMNO dan sekaligus berhadapan dengan PRU15, satu pilihanraya yang paling mencabar dalam dekad ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button