fbpx
Politik

PRK Slim: Tiada undi protes Pas, pengundi Cina tidak puas hati pada Dr. M

Badan pemikir Ilham Centre menjangkakan calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz, 43 akan menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim esok.

Dalam satu kenyataan, badan itu berkata, calon BN mendapat kelebihan apabila 67 peratus pengundi menjadikan faktor parti sebagai pilihan utama untuk mengundi.

“Antara yang berlaku juga di sini ialah separa budaya politik pengundi sini membuat penilaian kekuatan parti dengan melihat dari segi bilangan keahlian, jumlah cawangan, dan kekuatan jentera yang dipamerkan.

“Dari aspek ini, sudah tentulah calon BN mendapat kelebihan tambahan pula pada pilihan raya kali ini turut dibantu oleh Pas selepas dua parti Melayu ini bersatu atas platform Muafakat Nasional,” kata badan itu.

Menurutnya 22 peratus undi Pas di DUN itu juga akan memilih calon BN atas semangat kerjasama politik dua parti tersebut.


Badan itu turut menolak andaian bahawa ahli Pas akan melakukan undi protes terhadap calon BN kerana tidak berpuas hati kerjasama Pas-UMNO.

“Andaian mengatakan akan wujud ahli Pas yang tidak berpuas hati kerjasama Pas-Umno dan melakukan undi protes ternyata tidak berlaku.

“Walaupun wujud ahli Pas yang tidak boleh menerima kerjasama ini, namun apabila sampai di kotak undi, mereka akan patuh kepada arahan jamaah (parti) mereka dengan mengundi calon BN,” menurutnya.

Kajian itu juga mendapati penyokong BN yang dahulunya mengundi PH menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan kembali menyokong BN.

Ini kerana mereka melihat pada persepsi bahawa kerajaan di bawah PH gagal membawa perubahan yang diharapkan oleh mereka.

“Tidak melaksanakan manifesto, menghapuskan beberapa subsidi penting orang Melayu antara hujah yang menyokong segmen pengundi ini untuk mengubah pola sokongan mereka,” katanya.

Sementara itu,Ilham Centre juga mendapati segmen pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina di Pekan Slim dan Sungai Slim Utara kelihatan berbelah bahagi.

Responden etnik Cina menyatakan kemungkinan anak-anak mereka yang berada di luar kawasan tidak balik mengundi kerana tiada faktor mendesak.

“Selain itu, pengundi Cina menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan Tun Dr Mahathir malah ada yang percaya apa yang berlaku pada politik sekarang adalah atas perancangan beliau.

“Dengan persepsi meluas ini, kami tidak dapat menbaca dengan jelas ke mana halatuju undi Cina di dua PDM ini yang mana dahulunya menyumbang kepada undi terbesar kepada calon PH,” katanya.

Kajian itu juga mendapati pengundi India yang dahulunya memberi sokongan besar kepada PH akan beralih arah.

“Pertimbangan utama pengundi India ialah pihak mana yang paling membela mereka menerusi bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Atas aspek ini, BN mempunyai kelebihan kerana ketika fasa PKP, kerajaan banyak menurunkan bantuan kepada rakyat,” menurut kajian itu.

DUN Slim termasuk dalam kategori kerusi majoriti pengundi etnik Melayu berkomposisi sebanyak 75 peratus.

Pengundi etnik India pula adalah 13 peratus, pengundi etnik Cina 10 peratus dan baki 2 peratus di kalangan Orang Asal.

Kajian dilakukan bermula 7 Ogos hingga 27 Ogos melibatkan pemilihan seramai 502 responden sebagai sampel dalam kajian yang dilalukan secara tatap muka di sini.

Pensampelan responden dibuat melalui persampelan rawak berstrata melalui semua PDM dengan mengambil kira demografi yang dapat mewakili kawasan kajian ini.

Mohd Zaidi ditentang dua calon bebas iaitu  Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air  dan Santharasekaran Subramaniam yang merupakan bekas guru.

Seramai 23,094 pengundi awam dan pengundi awal serta pengundi pos layak membuang undi mereka dalam pilihan raya kecil itu.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button