Politik

PPBM sokong penuh pelantikan Ismail, Hishammuddin

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.

PPBM kata Ahmad Faizal, turut menyokong pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Beliau menyifatkan pelantikan kedua-dua individu tersebut adalah satu langkah tepat bagi kerajaan untuk memberi fokus kepada Pelan Pemulihan Negara (Pemulih) yang sedang mengambil tempat dalam menguruskan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan yang akan mengurus Kluster Keselamatan juga perlu dilihat dalam konteks sama untuk jemaah menteri terus ke hadapan memastikan Pemulih lancar dan berhasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata beliau, pengumuman pelantikan baharu dalam jemaah menteri itu membuktikan pentadbiran kerajaan mahu negara diuruskan sebaiknya dan mengenepikan soal politik yang sama sekali tidak membawa manfaat dalam suasana mencabar pada ketika ini.

Katanya, “dalam suasana mencabar ketika ini, kita perlu berganding bahu dan tidak terlalu berpolitik sedangkan rakyat sangat terkesan dan memerlukan perhatian.”

Beliau berkata, apabila tiba masanya untuk berpolitik kelak termasuklah pilihan raya, raikanlah ia tetapi buat masa sekarang, berikan perhatian kepada permasalahan rakyat.

“Perhatian sekarang turut merangkumi usaha vaksinasi secara lebih agresif lagi,” kata beliau. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button