Politik

Politik Malaysia belum maju, masih didominasi mereka `dimakan usia’?

KOMENTAR

SEKITAR awal Oktober 2008, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang ketika itu Ahli Parlimen Pulai bikin kejutan dengan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Menganggap dirinya sebagai calon alternatif, Nur Jazlan yang berumur 42 tahun menyatakan UMNO perlu melakukan perubahan. Ini terutama untuk pengundi muda demi perubahan serius dalam parti.

“Saya membawa suara remaja. Tidak semestinya dari dalam UMNO tetapi juga di luar kerana sebahagian besar pengundi adalah golongan muda,” katanya, dipetik pihak media ketika itu.

Dua belas tahun berlalu kini tahun 2020. Anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional yang begitu disegani, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat itu mengakui kepada SUARA MERDEKA bahawa ingatan menawarkan diri bersaing jawatan nombor dua parti itu masih lagi segar dalam ingatannya.

Segar bukan kerana apa, tetapi kerana melihat proses peremajaan itu masih tidak berlaku dalam politik Malaysia hari ini.

“Hari ini anda sendiri boleh lihat politik Malaysia terus didominasi oleh orang yang sama, balik balik Tun Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang…tak ada orang lain, macam tukar-tukar baton.

“Tak mungkin politik Malaysia boleh maju kalau personaliti yang sama ini masih bersarang dalam lapangan ini. Mengapa tidak berjiwa besar…berehat, berundur dengan memberi laluan kepada barisan pelapis,” kata Nur Jazlan yang dihubungi baru-baru ini.

Barangkali ada benarnya kata-kata Nur Jazlan. Meskipun Anwar yang juga Presiden PKR masih lagi tersekat untuk menggapai cita-cita berjawatan PM, beliau terus `mengaum’.

Sehinggakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Haris Alimudin mahu PKR sebagai parti utama dalam Pakatan Harapan lebih berani untuk mula menampilkan tokoh-tokoh baharu sebagai alternatif calon Perdana Menteri.

Agenda PKR, kata beliau, bahawa hanya Anwar yang berusia 72 tahun sebagai bakal Perdana Menteri membosankan rakyat.

“Agenda hanya Anwar Ibrahim sebagai bakal PM membosankan rakyat. PKR sebagai parti utama harus lebih berani untuk mula menampilkan tokoh-tokoh baharu sebagai alternatif selepas DSAI,” kata Haris dalam satu artikel yang ditulis dan diterbitkan di Gemilang Daily.

Itu Anwar, bagaimana halnya dengan dua supremo politik lagi, Lim Kit Siang dan Dr Mahathir.

Dinasti Lim misalnya dianggotai anak beranak Kit Siang, Lim Guan Eng dan adiknya, Lim Hui Ying. Bagaimanapun Kit Siang masih bertahan di usia 79 tahun. Tidak pasti apa lagi ditunggunya.

Sementara Dr. Mahathir, semua maklum daya tahan negarawan yang akan menyambut hari jadinya ke-95 tahun, 10 Julai ini.

Begitupun ada baiknya penyokong Dr. Mahathir luangkan masa mendengar pandangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh.

Kata anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, bagi menghentikan drama kemelut politik semasa hari ini, Dr. Mahathir disaran terus berehat dan tidak mendengar hasutan orang sekeliling yang hanya boleh merosakkan imej dirinya.

“Politik ni panjang, ada masanya kita boleh redakan dan sampai masanya kita bolehlah panaskan balik.

“Jadi pada pandangan saya, tindakan Dr. Mahathir ini sebagai mana saya sebut sebelum ini, sebelum dan selepas pilihan raya, saya masih lagi melihat bahawa kesilapan besar yang berlaku dalam politik negara kita ialah ahli politik terlalu mengharapkan Dr. Mahathir supaya memimpin kembali negara.

“Saya yakin bahawa sebagai orang yang telah berpengalaman, peranan Dr. Mahathir adalah menasihat. Itu orang tua, orang lama dia bukan ditugaskan untuk memimpin. Orang tua tugasnya menjadi penasihat,” kata Nik Abduh kepada pemberita yang menemuinya di Ibu Pejabat Kesedar, Gua Musang hari ini.

Biarpun pada 2008, pemerhati di luar UMNO mengharapkan Nur Jazlan meneruskan saingan merebut jawatan nombor dua UMNO, hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian.

Ini kerana setelah tiga minggu bahagian-bahagian UMNO bermesyuarat dan beliau masih tidak mendapat sebarang pencalonan, Nur Jazlan menerima mesej yang ingin dihantarkan oleh bahagian lalu mengambil keputusan menarik diri dari persaingan jawatan Timbalan Presiden.

Dan seterusnya Nur Jazlan mengumumkan sokongan kepada seorang pemimpin dari Johor (kini Perdana Menteri) yang telah memperoleh sokongan terbanyak untuk kerusi Timbalan Presiden.

“Yang penting bagi saya ialah mesej yang hendak saya sampaikan sudah diterima. Kerana itu di peringkat Naib Presiden dan juga majlis tertinggi semasa itu (2008), semua yang mendapat pencalonan tinggi adalah golongan yang dikira muda,” katanya.

Mengakhiri perbualan telefon dengannya kelmarin, Nur Jazlan yang kini Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor meluahkan pandangannya:
“Hari ini melihat drama kemelut politik tanah air yang masih dimainkan oleh `tok-tok dalang’ ini, saya yakin rakyat sudah meluat.

“Ini semua memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia, khususnya orang muda. Sekarang, yang kita ada hanyalah kepimpinan politik yang dimakan usia.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button