POLIS Perak menafikan berita tular di laman sosial yang mendakwa kes rogol pembantu rumah membabitkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong ditutup dan exco berkenaan dibebaskan.
Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata sehubungan itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 (b) kanun sama terhadap pemilik akaun Facebook, Fahaizal Zee, semalam.
“Siasatan terhadap Fahaizal dijalankan kerana telah membuat fitnah terhadap Ketua Polis Perak dengan menyatakan bahawa ‘Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah dibebaskan’.
“Polis ingin menegaskan apa sahaja yang dinyatakan oleh orang tertentu bahawa kes ini telah ditutup adalah tidak benar dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana orang yang menyebarkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya mendapati orang ramai masih mempercayai dan menularkan berita kononnya kes itu ditutup oleh pihak pendakwaan setelah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara malah menuduh polis tidak menjalankan tugas penyiasatan dengan baik yang menyebabkan kes itu tidak diteruskan.
“Dimaklumkan bahawa pihak peguam Paul Yong telah menghantar reprentasinya kepada Peguam Negara tetapi permohonan tersebut telah ditolak dan mengarahkan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk meneruskan pendakwaan terhadap kes tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata pihaknya telah membuat persiapan rapi kawalan keselamatan di sekitar kawasan mahkamah ketika perbicaraan kes itu yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 14 Feb depan.
Pada 23 Ogos tahun lepas, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan merogol pembantu rumahnya itu di sebuah rumah di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, 7 Julai.– BERNAMA