Nasional

Tukang urut, pemandu e-hailing didakwa berkaitan kumpulan pengganas Daesh

TUKANG urut dan pemandu perkhidmatan e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Kedua-dua tertuduh, Wan Amirul Azlan Jalaludin, 35, dan Mohamad Ayub Musa, 36, hanya menggangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Amirul yang juga seorang tukang urut didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dengan cara berbaiah di sebuah rumah di Perumahan Awam 3, Jalan RPA 2/3, Kampung Gajah kira-kira pukul 9.03 pagi, pada 24 Okt 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Wan Amirul didakwa memiliki item-item yang berunsur perbuatan pengganas atau berkaitan dengan kumpulan pengganas, di lokasi sama kira-kira pukul 7.20 pagi 6 Jan lepas.

Wan Amirul didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pemandu e-hailing, Mohamad Ayub pula didakwa memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy J2 Pro.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Meru 2C, Jelapang, di sini, kira-kira pukul 7.20 pagi, pada 6 Jan lepas, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan mana-mana item, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Azman kemudiannya menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua tertuduh.- BERNAMA

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button