Berita

Polis mahu melihat akuan berkanun Azilah Hadri

SHAH ALAM, 16 Dis — Polis akan meneliti Akuan Berkanun (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mendakwa menerima arahan untuk membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis perlu membuat pengesahan terhadap SD itu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Kami belum tengok lagi (SD)… kecuali jika kamu membawa SD itu kepada polis. Kami akan tengok dan membuat keputusan kemudian,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau ditanya jika polis akan membuka semula siasatan pembunuhan Altantuya berdasarkan SD yang dibuat oleh Azilah.

Azilah dijatuhkan hukuman mati atas sabitan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Malaysiakini hari ini melaporkan mengenai SD itu yang mendakwa dia dan seorang lagi bekas anggota UTK, iaitu, Sirul Azhar Umar diarah untuk membunuh Altantuya oleh Najib.

Perincian itu antara permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button