Polis Kuala Lumpur tawar diskaun saman trafik 50 peratus
Polis Kuala Lumpur menawarkan diskaun saman sebanyak 50 peratus kepada pesalah trafik bermula esok hingga Sabtu ini.
Perkara itu diumumkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa.
Katanya, kaunter dibuka di Balai Polis Tun H S Lee dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang.
Tawaran diskaun berkenaan kata beliau, tidak termasuk bagi kes saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat.
“Kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran tersebut,” katanya.
Ujarnya, orang ramai boleh mengambil peluang membuat semakan serta pembayaran saman secara bebas tunai.