Polis dipukul kongsi gelap Geng 18
VIDEO yang tular di laman sosial berkenaan pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dengan seorang anggota polis disahkan ada kaitan dengan ahli kongsi gelap Geng 18 Batu 14 Puchong.
Difahamkan, kejadian yang berlaku di dalam sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam pada 25 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, pihaknya menerima makluman berkaitan pergaduhan tersebut termasuk memecahkan beberapa barangan.
“Kita pergi ke tempat kejadian dan menangkap semua suspek yang terlibat termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ dan difahamkan gelaran itu adalah nama panggilan sahaja.
“Siasatan juga mendapati kejadian berpunca kerana penjaga premis itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam pusat hiburan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan, anggota polis yang dipukul juga telah ditahan sebelum ini tetapi telah dibebaskan kerana dia hanyalah mangsa keadaan.
Jelasnya, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan itu dan akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), jika perlu.
“Polis turut menerima satu laporan daripada pemilik premis berkenaan berkaitan kes peras ugut oleh kumpulan ini yang meminta bayaran wang perlindungan,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata, semua tahanan direman selama dua hari berakhir hari ini.
Tambahnya, Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. -SM