Polis buka kertas siasatan anggota tentera pukul isteri
Polis Melaka membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung video yang tular mengenai seorang anggota tentera memukul wanita dipercayai isterinya di sebuah rumah pangsapuri di Sungai Udang dekat sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejadian berlaku pada 15 Disember lalu di sebuah pangsapuri di Sungai Udang di sini.
Menurutnya, mangsa berumur 38 tahun dipercayai isteri kepada pelaku yang merupakan anggota tentera bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka.
“Seorang perempuan Melayu dipercayai telah dipukul suaminya berusia 25 tahun yang juga merupakan anggota tentera di sebuah kem di Sungai Udang dekat sini.
“Sehubungan itu kes disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, polis sudah memanggil lelaki berkenaan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 32 saat itu tular sejak semalam di platform X menjadi perhatian netizen.
Rakaman itu kedengaran suara seorang wanita merayu supaya suaminya bertenang dan menyelesaikan masalah yang dihadapi secara baik.
Bagaimanapun, anggota tentera itu tetap berkeras dan meninggikan suara mengarahkan mangsa masuk ke dalam rumah. – SM
Artikel berkaiatan > Lelaki warga Indonesia dicekup pukul kepala majikan hingga mati