NasionalNegeriPendidikan

POLIMAS ungguli juara Debat Piala Ketua Pengarah JPPKK

POLITEKNIK Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah terus mengungguli Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2023 apabila mengekalkan kejuaraan buat dua kali berturut-turut.

Pasukan Debat POLIMAS yang terdiri Muhammad Asyraf Muhd Kahar, Muhammad Arif Idham Saiful Harizal, Muhammad Norsyafiz Ikmal Azri dan Nur Atirah Abdul Nasir telah diangkat sebagai Johan Debat Bahasa Melayu mengalahkan pendebat-pendebat lain dari Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia yang diadakan di POLIMAS, Jitra, Kedah.

Pasukan Debat POLIMAS menjulang Piala Pusingan Debat setelah diumumkan Johan Debat Piala Ketua Pengarah JPPKK.

Lebih membanggakan, Muhammad Arif Idham Saiful Harizal yang berperanan sebagai Ketua Pembangkang telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir.

Pasukan Debat POLIMAS yang berjaya mengekalkan kejuaraannya pada tahun ini telah menewaskan pasukan dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor dengan margin 1, juri 4-3.

Johan bagi Pertandingan Pidato pula dimenangi oleh Nur Intan Syafiqah Hairul Nizam dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor.

Nur Intan Syafiqah Hairul Nizam dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor selaku Johan Pidato Bahasa Melayu menerima Piala Pusingan dan Hadiah Wang Tunai.

Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, berkata, ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan kerana pelajar POLIMAS telah berjaya mempertahankan kejuaraan mereka bagi dua tahun berturut-turut.

Katanya, tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih, kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai.

“Pencapaian ini turut membuktikan bahawa pihak POLIMAS amat menitikberatkan kemahiran berpidato dan pengucapan awam di kalangan pelajarnya selari dengan pentingnya pendidikan dan kemahiran TVET,” katanya.

Katanya lagi, dengan penganjuran pertandingan seperti ini dilihat dapat memberi peluang untuk mencari pelajar yang berbakat dalam seni perdebatan serta berpidato sekaligus melahirkan pelapis-pelapis yang akan mewakili POLYCC dalam arena pengucapan awam.

Pensyarah Jurulatih mereka, Mohd Nazimi Zaim Ismail pula berkata, kejayaan POLIMAS sebagai Johan Debat Bahasa Melayu bagi 2 tahun berturut-turut amatlah membanggakan kerana latihan dan usaha keras yang dicurahkan telah membuahkan hasil.

Katanya, para pensyarah yang telah menyumbang tenaga sebagai jurulatih sangat gembira kerana usaha dan latihan yang telah diberikan telah membuahkan kejayaan yang amat membanggakan.

Muhammad Asyraf Muhd Kahar ketika ditemubual berkata, beliau bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada POLIMAS atas kepercayaan memilih dan menghantar kumpulannya ke Pertandingan Debat Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah JPPKK 2023.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pensyarah dan jurulatih atas kesudian berkongsi ilmu,” katanya.

Sebanyak 26 pasukan dari Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh Malaysia telah menyertai pertandingan ini.

Peserta Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu 2023 bergambar beramai-ramai dengan Kamaludin Daud.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Malaysia, Kamaludin Daud dalam ucapan perasmian penutup berkata, “Pengucapan awam merupakan salah satu bidang yang cukup dikenali dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

“Ia merupakan satu wadah untuk meningkatkan daya fikir intelektual dan tahap pemikiran kritis disamping membentuk keterampilan dan sahsiah yang tinggi sebagai persiapan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Johan bagi Pertandingan Debat Bahasa Melayu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1000, berserta Piala Pusingan manakala bagi johan pidato menerima hadiah berupa wang tunai RM500 dan Piala Pusingan.

Turut hadir Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, Timbalan Pengarah Akademik, Salmiyah Che Ahmad, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Hamizi Yahya dan Ketua Jabatan Pengajian Am, Nuzaimah Muda selaku Pengerusi Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah JPPKK 2023. – SM

BACA FYPComp@POLIMAS: AR Sandbox kalahkan 250 projek Anugerah Pengarah

BACA Sukarelawan YES POLIMAS tabur bakti di Maahad Tahfiz Puteri Ayu

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button