Rencah Hidup

Pokok pasangan berpelukan, bagai tugu cinta

Kampung Darat, Beseri jadi tumpuan

SANGAT unik. Umpama sebuah tugu cinta tetapi inilah yang boleh disaksikan apabila pokok menyerupai pasangan berpelukan ada di Kampung Darat, Beseri, Perlis.

Pokok pasangan berpelukan ini terletak di tengah-tengah perkampungan yang dikelilingi sawah padi, kebun getah, kebun buah-buahan dan beberapa buah rumah.

Pokok pasangan berpelukan bagai “tugu cinta” di tengah sawah terdapat di Kampung Darat-Padang Melangit, Beseri, Kangar, Perlis.

Bukan sahaja sesiapa yang melalui Jalan Kampung Darat – Padang Melangit, Beseri boleh melihat pokok pasangan berpelukan ini malahan ia boleh dilihat dari jauh iaitu sehingga hampir satu kilometer.

KADANG-KADANG pokok pasangan ini nampak seolah-olah sedang berbisik atau memujuk.

Tinjauan wartawan SUARA MERDEKA KE Kampung Darat, Beseri mendapati, ketinggian pohon-pohon ini dianggarkan hampir setinggi bangunan lima tingkat atau 15 meter.

Disebabkan pohon-pohon pasangan berpelukan ini bersaiz besar dan tinggi, keadaan di bahagian bawah pokok-pokok ini redup dan tidak ditumbuhi dengan pokok-pokok lain.

Salah seorang penduduk tempatan yang ditemui, Rosnani Mohamad, 60, berkata, beliau mula menyedari keadaan pokok-pokok ini bagai pasangan berpelukan selepas menziarah kubur arwah suaminya yang terletak berdekatan situ pada awal Disember tahun lalu.

Pokok pasangan berpelukan bagai “tugu cinta” di tengah sawah.

“Saya terus ambil gambar dan tunjuk kepada adik-beradik sehingga ada yang tertarik dan terus datang untuk melihat sendiri dengan lebih dekat, pokok pasangan berpelukan ini,” katanya.

Pesara guru ini juga berkata, pokok pasangan berpelukan ini asalnya adalah pokok tui atau chicha.

Pokok pasangan berpelukan boleh dilihat dari jauh semasa melalui Jalan Kampung Darat-Padang Melangit, Beseri.

“Tetapi pokok tui ini rasanya dah mati sebab telah dikuasai oleh lana iaitu sejenis tumbuhan menjalar yang suka menumpang hidup pada pokok-pokok besar,” jelasnya.

Beliau sendiri tidak menjangka yang pokok-pokok itu boleh membentuk seperti pasangan manusia yang sedang berpelukan.

NUR ZAKIAH ZAID

Sementara itu, Nur Zakiah Zaid, 19, mengakui, dia sendiri tidak perasan adanya pokok pasangan berpelukan sebesar itu yang terletak kira-kira 300 meter sahaja jarak dari rumahnya.

“Memang sebelum ini, tak perasan cuma adalah nampak orang luar lalu lalang kat sini pada sebelah petang kerana ingin melihat pokok-pokok ini.

“Sekarang, pokok-pokok pasangan berpelukan dikatakan sudah mulai viral,” katanya.

Katanya lagi, kampung yang dahulu agak sunyi kini sudah mula dikunjungi orang ramai yang ingin melihat pokok pasangan berpelukan. – SM

(Visited 866 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button