Pogba pemain terbaru diuji positif coronavirus
PAUL Pogba menjadi pemain bola sepak berprofil tinggi terbaru dijangkiti coronavirus, dengan Liga Perdana Inggeris berdepan suasana kelam-kabut menjelang musim baru yang bermula dua minggu lagi.
Pemain tengah itu diketepikan daripada skuad kebangsaan Perancis, selepas diuji positif di samping pemain Tottenham, Tanguy Ndombele sewaktu ketibaan mereka di kem latihan.
Pogba meluangkan masanya di luar musim dengan keluarga dan sahabat-handai di London. Pemain itu difahamkan menunjukkan symptomatic (ada menunjukkan gejala dijangkiti) dan dikhuatiri bakal terlepas kelahiran anak keduanya.
Pemain berusia 27 tahun itu kini perlu mengasingkan dirinya untuk sekurang-sekurang 10 hari dan tidak akan menyertai sesi latihan pra-musim bersama Manchester United.
Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu bakal melaporkan diri ke kem latihan di Carrington pada Rabu dan persediaan pengurus itu menjelang musim baru terjejas ekoran beberapa masalah yang melanda United.
Aaron Wan-Bissaka, seorang lagi pemain yang terlepas latihan kerana dia perlu mengasingkan dirinya selama dua minggu sebaik kembali dari percutian di Dubai.
Perlawanan pertama United dalam Liga Perdana ialah aksi menentang Crystal Palace pada 19 September, tetapi Solskjaer terpaksa berdepan beberapa isu termasuk kontroversi menimpa Harry Maguire sewaktu bercuti di Mykonos setelah pemain itu disabit bersalah kerana bergaduh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 21 bulan yang ditangguhkan.
Pogba yang diuji positif, telah menambah satu lagi bebanan masalah yang terpaksa diharungi bos United tersebut.
Pengurus Perancis, Didier Deschamps yang mendedahkan berita tersebut, hari ini, berkata: “Saya telah melengkapkan senarai skuad, tetapi pada saat akhir perubahan terpaksa dilakukan. Paul Pogba sebelum ini telah disenaraikan, tetapi malangnya dia yang menjalani pemeriksaan, semalam, telah diuji positif, pagi ini.”
United pula dalam satu kenyataan yang dikeluarkan: “Semua orang di United mendoakan Paul Pogba segera sembuh menjelang musim baru.”
Kelab itu menegaskan, bahawa semua pemain akan mematuhi peraturan yang digariskan Kerajaan ekoran Covid-19, termasuk perlu dikuarantin jika perlu.
Nemanja Matic, Anthony Martial dan Victor Lindelof difahamkan telah menghabiskan percutian mereka di Serbia, Perancis dan Sweden sebelum menyertai skuad kebangsaan masing-masing. – Daily Mail UK – SM