Ekonomi

PNS bakal lancar logo dan akronim baharu

Perkukuh kedudukan sebagai peneraju industri francais, elak kekeliruan

Bagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri francais sekali gus untuk kekal relevan dalam industri, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) bakal melaksanakan penjenamaan semula yang melibatkan pertukaran akronim dan logo PNS melalui pelancaran jenama baharu pada 21 Jun 2021.

Walau bagaimanapun, nama rasmi iaitu Perbadanan Nasional Berhad masih dikekalkan. Penjenamaan semula ini juga merupakan salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat secara meluas mengenai peranan PNS dalam industri francais negara dan keusahawanan seterusnya menangani isu kekeliruan jenama PNS dengan organisasi – organisasi kerajaan yang lain.

Seiring dengan penjenamaan semula yang bakal dilancarkan, PNS akan terus komited merancakkan industri francais yang merupakan salah satu sektor penting dalam pembangunan ekonomi negara. PNS sebagai agensi yang diberi mandat untuk meneraju pertumbuhan industri francais sejak tahun 2004 dan juga merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC), akan terus berusaha melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berkualiti dan berdaya maju khususnya dalam perniagaan francais selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Pada tahun ini, PNS menyasarkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam bidang perniagaan francais iaitu sebanyak 3,600 peluang pekerjaan baharu. Bagi menyokong hasrat tersebut, PNS telah melancarkan dua (2) projek terbaharunya pada awal tahun ini sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan iaitu ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ dan Projek Xcelerator.  BYOB menawarkan dua (2) program di bawahnya iaitu program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET)” untuk wanita dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY)” untuk golongan belia.   PNS mensasarkan untuk melahirkan 1,000 francaisi melalui program ini.


Sasaran untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dapat direalisasikan dengan memperkukuhkan lagi penyertaan daripada golongan usahawan bumiputera, belia, wanita dan siswazah. Mereka bukan sahaja ditawarkan panduan dan latihan komprehensif, malah pembiayaan serta akses kepada pasaran semasa.  Sejak program ini diperkenalkan, lebih dari 300 wanita dan belia telah mendaftar sebagai peserta BYOB dan seramai 100 peserta telah menamatkan latihan dan sedang di dalam proses pemadanan perniagaan.  Melalui projek Xcelerator pula, PNS giat membantu usahawan-usahawan sedia ada untuk memacu perniagaan mereka ke arah francais dalam masa yang ditetapkan.

Selain bertujuan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia yang semakin bertambah khususnya ketika rakyat Malaysia berhadapan dengan kehilangan pekerjaan ketika penularan Covid-19, inisiatif ini juga bertujuan memupuk masyarakat untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama.

Bagi mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan dan meluas, PNS turut menjalinkan  hubungan strategik dan kerjasama dengan pelbagai agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta.  Kerjasama ini antara lain bertujuan membangun dan memperkukuh sistem perniagaan usahawan-usahawan sedia ada dan bakal-bakal usahawan.

Penjenamaan semula PNS yang akan dilancarkan secara soft launch pada 21 Jun 2021 ini bukan sahaja melibatkan transformasi jenama, malah turut meliputi kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh PNS kepada para pelanggan dan para usahawan. PNS akan terus komited dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan dan melaksanakan program-program yang memberi impak positif kepada perkembangan industri francais. Nantikan pengumuman terkini mengenai pelancaran jenama baharu PNS pada 21 Jun 2021 di media-media utama dan laman media sosial rasmi Perbadanan Nasional Berhad (PNS). – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button