Politik

PN akan kekal memerintah hingga dua kali raya lagi

SAYA tertarik apabila pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah meminta para pemimpin parti itu meletakkan jawatan daripada menteri kabinet dan GLC.

Saranan itu dibuat oleh Ku Li selepas ucapan perasmian oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung parti itu.

Zahid berkata UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP, Anwar dan Bersatu dan disimpulkan oleh Ku Li bahawa para pemimpin UMNO yang memegang jawatan pada masa ini harus meletakkan jawatan.

Ini bukan kali pertama UMNO bergegak gempita untuk meruntuhkan kubu lawan, tetapi akhirnya diam menikus.

Sebelum ini UMNO juga telah menyatakan pendirian untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan Presiden Bersatu dengan didokong kuat oleh Pas.


Ketika itu sepatutnya para pemimpin UMNO telah menarik sokongan serentak dan menyebabkan kerajaan PN hilang majoriti dan terpaksa dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum bagi memilih kerajaan baharu.

Oleh kerana UMNO sendiri belum bersedia mereka memutuskan untuk menarik kembali sokongan secara berperingkat hinggalah ke perhimpunan hari ini.

Baru dua pemimpin menarik sokongan, Muhyiddin telah mengumumkan darurat serta menggantung parlimen dan pakat meroyanlah pemimpin UMNO selepas itu. Tiba-tiba sahaja Parlimen menjadi tempat paling dirindui.

Itu belum di dalam UMNO sendiri ramai yang menjadi gunting dalam lipatan yang mendedahkan strategi parti itu kepada pihak lawan.

Namun golongan berkenaan bernasib baik tidak dikenakan tindakan seperti Datuk Tun Faisal Ismail yang digantung enam tahun keahlian kerana mengkritik presiden.

Mengkritik presiden dianggap lebih besar dosanya berbanding membocorkan maklumat parti kepada pihak musuh.

Apakah Muhyiddin terlalu naif untuk duduk diam setelah tahu para pemimpin UMNO akan menarik kembali sokongan kepada kerajaannya?

Tentulah tidak. Beliau telah menyediakan barisan pelapis untuk melompat. Dikhabarkan pemimpin UMNO sudah habis dijadikan pelompat, walaupun ramai masih ragu-ragu.

Dengan bayaran semurah RM10,000 ada pemimpin yang sanggup bersekongkol, apatah lagi jika jumlah lebih besar di depan mata, tentunya mereka tidak berfikir panjang untuk melompat.

Pelompat simpanan masih lagi ramai. Jika UMNO keluar para pemimpin Warisan akan masuk ke dalam kerajaan. Jangan terkejut pemimpin PKR dan Amanah juga akan melompat beramai-ramai.

Katak memang makhluk dua alam, tetapi mereka tidak dapat hidup jika air kering kontang. Tanpa duit ramai orang politik tidak mampu bertahan kerana penyokong mereka sendiri akan cabut lari mencari pohon yang lebih rendang.

Golongan penangguk di air keruh kini lebih ke hadapan kaedahnya kerana menggunakan gajet pengesan ikan untuk memasang bubu dan lukah.

Sebelum ini orang politik meramalkan pilihan raya akan diadakan pada bulan Jun ini kerana bagi mengelakkan pengundi berusia 18 tahun ke atas berjumlah 7 juta orang mengundi.

Ini adalah kerana pengundi muda dan buat pertama kali menjalankan tanggungjawab mereka memilih kerajaan adalah sukar diramalkan kecenderungan mereka.

Kebijaksanaan kerajaan PN adalah mereka tidak mewartakan senarai pengundi yang membolehkan golongan muda tersebut untuk mengundi.

Jadi tidak payahlah berangan-angan pilihan raya akan berlangsung selepas raya puasa ini, sebaliknya kerajaan PN akan terus memerintah untuk dua atau tiga kali raya puasa lagi kerana penggal pemerintah mereka akan berakhir pada 2023.

Sementara itu teruslah  mempercayai khabar angin, yang akhirnya menyebabkan orang politik keletihan dan kehabisan dana.

UMNO sendiri walaupun kuat berkokok sebenarnya belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya dari segi kewangan dan jentera parti.

 

 

 

(Visited 331 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button