Nasional

PM sokong denda Covid-19 dinaikkan hingga 3 kali ganda

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menyokong  cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan berkaitan Covid-19 dinaikkan hingga tiga kali ganda dari kadar sekarang.

Menurut Muhyiddin, perkara tersebut perlu diperhalusi dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342  perlu dipinda terlebih dahulu.

Tegas Muhyiddin, tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan  dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal.

“Sehubungan itu, saya juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar
kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas sebentar tadi.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata  Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji keperluan untuk menaikkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap pesalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setakat ini, pesalah yang ingkar arahan PKP dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Ismail Sabri, berkata berbeza di Malaysia, negara lain mengenakan kadar kompaun yang tinggi kepada mereka yang ingkar.

“Ada kemungkinan jumlah tangkapan yang masih ramai disebabkan jumlah kompaun RM1,000 dianggap terlalu rendah. Di Singapura misalnya, kesalahan (ingkar) pertama dikenakan SGD10,000 (RM30,491), manakala kesalahan kedua adalah SGD20,000 (RM60,982).

“Di Korea Selatan, kesalahan pertama adalah sebanyak RM35,000. Jadi jika dilihat hukuman ini nilainya besar, manakala Malaysia ditetapkan hanya RM1,000.

“Mungkin kita akan minta KKM berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk menaikkan lagi kadar kompaun dan mungkin menambah hukuman penjara,” katanya.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button