Nasional

PM Singapura harap Muhyiddin terus berperanan tingkatkan hubungan dua negara

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berharap bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perkara tersebut dinyatakan Hsien Loong ketika menghubungi Muhyiddin hari ini.

Dalam perbualan melalui telefon itu Hsien Loong bertanya khabar dan perkembangan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas tidak lagi menjadi perdana menteri.

Muhyiddin berkata, secara peribadi beliau amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Hsien Loong.

Justeru beliau yakin, Perdana Menteri Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan meneruskan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.

‘Saya menaruh keyakinan hubungan baik Malaysia-Singapura ini akan terus ditingkatkan di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri.

“Tuan Yang Terutama (TYT) Lee Hsien Loong juga memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Dalam perbualan tersebut, Hsien Loong merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang dijalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat.

Muhyiddin menyatakan persahabatan yang ditunjukkan Hsien Loong, bukan sahaja baru-baru ini tetapi sejak mereka saling mengenali lama dahulu.

“Masih segar diingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri.

“Saya doakan TYT Lee Hsien Loong diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura,” kata Muhyiddin.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button