Nasional

PM Ismail Sabri buat lawatan rasmi sulung ke Kemboja dan Thailand

SEJAK menjadi Perdana Menteri inilah kali pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan rasmi ke Kemboja dan Thailand bermula hari ini sehingga Sabtu, 26 Februari ini.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, lawatan tersebut sebagai memenuhi jemputan daripada Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-cha.

Menurut kenyataan Wisma Putra, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri ke Kemboja, beliau dijadualkan mengadakan kunjungan menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni.

“Di samping pertemuan dengan rakan sejawatan Hun Sen bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala di antara Malaysia-Kemboja,” kata Wisma Putra.

Selain itu, lawatan tersebut juga dijangka membincangkan kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN dan isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Ismail Sabri juga bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja dan seterusnya, Perdana Menteri akan turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja, katanya.

Wisma Putra turut memaklumkan, semasa lawatan rasmi ke Thailand, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan Chan-O-cha bagi memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan hala tuju dan kerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.

“Bidang-bidang utama merangkumi kerjasama ekonomi, pasca pandemik Covid-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

“Program Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan Wisma Putra, lawatan Ismail Sabri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran dan rakan ASEAN tersebut.

“Ia juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca pandemik serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa,” ujar kenyataan Wisman Putra.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut mengiringi Ismail Sabri ialah Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif serta para pegawai kanan kerajaan.

Lawatan-lawatan ini akan berlangsung mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand. – SM

(Visited 427 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button