PM arah kaji 147 undang-undang lapuk
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk.
Beliau berkata, Kerajaan telah dan akan melaksanakan transformasi undang-undang secara signifikan dan usaha tersebut akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun dan dalam konteks itu, undang-undang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, malah agak terkebelakang dengan perubahan semasa.
“Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 contohnya, hanya membabitkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah pun melaksanakan beberapa langkah proaktif dalam memperkasa undang-undang di Malaysia, antaranya pemansuhan hukuman mati mandatori, Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No 3) 2022 dan RUU Dana Sumbangan Politik.
Mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, ramai yang keliru mengenainya seolah-olah hukuman mati sudah dihapuskan.
“Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah itu dijatuhkan hukuman mati atau hukuman pilihan yang lain,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentang bulan depan, penting untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana tindakan lompat parti sebelum ini terbukti merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.