Ekonomi

PKS, vendor harus selari dengan perkembangan terkini untuk kekal berdaya saing dalam pasaran EV

Dasar Automotif Nasional pemangkin kepada pembanguan Kenderaan Generasi Akan Datang

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) serta vendor digesa untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan amalan terbaik dalam reka bentuk dan pembuatan komponen kenderaan elektrik (EV) untuk kekal berdaya saing.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dengan elektrifikasi, komponen kenderaan akan lebih mudah dalam pemasangan, tetapi lebih canggih dalam reka bentuk dan pembangunan.

“Bagi memastikan daya saing dalam landskap yang semakin berkembang ini, penting bagi PKS dan vendor mendapat sokongan yang diperlukan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika berucap pada prapelancaran Malaysia Autoshow 2023

“Sokongan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, termasuk akses kepada kepakaran teknologi, sumber penyelidikan dan pembangunan,” katanya pada prapelancaran Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS Serdang hari ini.

Tengku Zafrul berkata Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 memberi penekanan yang kuat kepada membangunkan penyelesaian mobiliti baharu yang lebih cekap, mampan dan berteraskan pelanggan.

Ini termasuk menggalakkan kenderaan cekap tenaga (EEV) serta kenderaan berhubung dan autonomi atau Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV), EV dan bentuk pendorong alternatif lain, katanya.

Beliau berkata kerajaan menjangka pertumbuhan NxGV yang pesat di Malaysia, memandangkan negara merupakan antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) terkemuka di Asia Tenggara.

Proton X50 R3 Concept edisi terhad

“Kami dapat memanfaatkan kedudukan kami dengan memberi perkhidmatan kepada seluruh rantaian nilai, yang terdiri daripada semikonduktor, sensor, elektronik automotif, transceiver, bateri dan pemasangan auto,” katanya.

Beliau berkata sektor EV dalam pasaran ASEAN diunjurkan berkembang hampir 33 peratus setahun kepada US$2.7 bilion (US$1=RM4.45) menjelang 2027, daripada hampir US$500 juta pada 2021.

Ini bermakna elektrifikasi menjadi agenda yang lebih penting dan dari perspektif automotif, Malaysia perlu memacu ke arah matlamat yang lebih tinggi untuk penembusan EV dalam negara, katanya.

 

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button