Politik

PKR tak guna logo PH sebab stigma Mahathir

WONG Chen, Ahli Parlimen Subang berkata, bagi kebanyakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), logo Pakatan Harapan (PH) menjadi peringatan yang menyakitkan dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad berada dalam gabungan yang pernah menjadi Kerajaan.

Wong Chen berkata demikian ketika menjelaskan mengapa PKR bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logonya sendiri.

Memetik laporan FMT, Wong Chen berkata, keputusan calon PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri membuatkan akar umbi parti secara keseluruhannya lebih gembira dan jentera kempen di lapangan lebih komited.

Jemaah Menteri Mahathir dianggotai pemimpin PKR yang sealiran dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang memimpin ahli parti dan Ahli Parlimen lain dalam Langkah Sheraton yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Beliau berkata, penting bagi PKR untuk menggunakan logo sendiri pada pilihan raya.

Bagaimanapun, sekutunya dalam PH, DAP dan Amanah tidak bersetuju sebaliknya akan terus menggunakan logo PH.

“Jadi itulah sebabnya kadangkala sangat sukar untuk menjelaskan kepada mereka tetapi kami harap mereka dapat faham pandangan kami,” ujarnya.

Wong Chen berkata, beliau percaya, dengan menggunakan logo sendiri, parti itu lebih bersatu selepas Azmin keluar.

“Pengundi cenderung mengundi anda jika pasukan anda lebih bersatu dan komited,” katanya.

Berhubung sama ada PKR menjadi semakin kurang relevan selepas tewas di dua PRN iaitu Melaka dan Sarawak, Wong Chen berkata, beliau tidak mempercayainya walaupun mengakui parti itu berdepan cabaran berikutan eksodus pimpinan Azmin.

“Jadi (timbul) rasa dikhianati dan apabila perkara besar seperti ini berlaku kepada parti, sudah tentu pandangan umum mengenainya merosot secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata, tindakan individu-individu ini meninggalkan parti adalah sesuatu yang bagus kerana mereka “lebih berminat dengan kuasa dan kedudukan berbanding parti dan pendirian kami, serta falsafah kami mengenai keadilan sosial”.

Namun, kata Wong Chen, Langkah Sheraton merosakkan imej parti itu dan ini antara sebab mereka dihukum oleh pengundi di Melaka dan Sarawak.

“PKR perlu masa untuk pulih,” kata Wong Chen. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button