Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] yang dijangka akan dibentangkan kepada Parlimen pada Oktober 2022 merupakan salah satu usaha yang diambil oleh Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam usaha membendung dan menangani insiden kebocoran data.
Pindaan tersebut juga penting bagi memastikan Akta 709 sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan sejajar dengan amalan antarabangsa.
Kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Mazmalek Mohamad, salah satu intipati utama dalam cadangan pindaan Akta 709 adalah mewajibkan semua Pengguna Data yang merupakan individu atau organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial untuk melaporkan insiden kebocoran data kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia.
“Jika sekiranya berlaku insiden kebocoran data, Pengguna Data perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia dalam tempoh 72 jam.
“Cadangan pindaan Akta tersebut juga akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang Pegawai Perlindungan Data (Data Protection Officer, DPO) oleh Pengguna Data.
“Di samping itu, pindaan Akta 709 juga akan mengenakan penalti kepada Pemproses Data atas kegagalan melindungi data peribadi,” katanya.
Mazmalek berkata demikian ketika diminta untuk mengulas berhubung insiden-insiden kebocoran data yang berlaku kebelakangan ini.