Nasional

Maritim tahan tongkang, empat lori seleweng minyak diesel

Sebuah tongkang yang telah diubah suai untuk menjadi tangki simpanan minyak diesel dipercayai diseleweng berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan minggu lalu.

Penahanan hasil maklumat orang awam dilakukan sewaktu kerja-kerja memindahkan diesel sedang dilakukan membabitkan empat buah lori di darat di mana salah satu daripada kenderaan itu sedang mengepam minyak diesel ke dalam tongkang berkenaan.

Pengarahnya, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, tongkang OCEANLINK235 ditahan dikedudukan 0.5 batu nautika Barat Laut Pulau Upeh dalam satu operasi kira-kira pukul 12.30 tenghari pada 25 Ogos
lalu.

Menurutnya, selain penahanan tongkang berkenaan, Maritim juga menahan empat buah lori di darat manakala salah sebuah daripadanya sedang mengepam masuk minyak diesel jenis Euro 5 ke dalam tongkang terbabit.

Beliau berkata, tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan iaitu dua penjaga tongkang, empat pemandu lori dan seorang kelindan berusia antara 31 hingga 59 tahun.

“Tujuh individu, termasuk empat lori telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Sungai Baru dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Keseluruhan anggaran jumlah rampasan minyak diesel dan tongkang berjumlah kira-kira RM600,000.

“Manakala jumlah minyak diesel yang dirampas pula dianggarkan 130,000 liter tidak termasuk dalam tongkang yang memerlukan masa untuk dikira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti pemilik tongkang terbabit yang telah diubah suai.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau ada dalam kawalan, barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan. – SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button