
Pihak mainkan isu perkauman adalah golongan terdesak – PM Anwar
SHAH ALAM: Pihak yang sering memainkan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan rakyat di negara ini hanya mengulangi tindakan lapuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai pendekatan ‘desperado’ dalam politik.
Malah, beliau menganggap pihak tidak bertanggungjawab itu hanya bijak memainkan isu perkauman berbanding membahas dasar kerajaan.
“Tiada skandal membabitkan pimpinan negara, rasuah, atau salah guna kuasa, tetapi yang ada ialah memperalatkan isu kaum.
“Kononnya kerajaan lemah kerana tunduk kepada kuasa parti, khususnya DAP. Apakah mereka tidak kenal DAP? Mereka kenal.
“Dalam Pakatan Rakyat dulu, hampir 15 tahun PAS bersama DAP. Semasa PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang sekarang Bersatu pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP.
“Apakah luahan mereka itu kenyataan benar? Tidak. Luahannya adalah golongan ‘desperate’ (terdesak), ini yang dikatakan ‘desperado’ dalam politik,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres DAP Ke-18, di sini, hari ini.
Beliau menambah, isu perkauman dibangkitkan pihak terbabit bukan gambaran mengenai situasi sebenar yang berlaku di negara ini.
“Tiada kritikan dasar atau pandangan baharu, tetapi bawa gendang lama, menakutkan masyarakat Melayu mengenai kemaraan kelompok Cina, apatah lagi yang diperjuangkan dengan lambang DAP,” ujarnya.