Sukan

Piala AFF 2024 : Harimau Malaya diundi bersama juara bertahan Thailand

Skuad Harimau Malaya dijangka berdepan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2024, apabila diundi bersama juara bertahan Thailand, di peringkat kumpulan.
Memetik BERNAMA, pada majlis undian yang diadakan di Hanoi, Vietnam hari ini menyaksikan skuad di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan Kim Pan Gon itu, turut diundi bersama juara empat kali Singapura di Kumpulan A.
Turut menyertai mereka pasukan Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste.
AFF sebelum ini mengumumkan jadual kejohanan Piala AFF akan berlangsung pada 23 Nov sehingga 21 Dis, manakala ACLE bagi JDT dan Selangor berlangsung bermula 25 Nov-5 Dis.
Sementara itu, Pan Gon berkata beliau akan memastikan Harimau Malaya dibarisi pemain yang kuat untuk berentap di piala berprestij itu.
“Kita akan berhadapan negara jiran Thailand dan Singapura, Kemboja dan pasukan dari pusingan kelayakan. Kita akan cuba untuk mendapatkan pemain utama untuk membina pasukan terbaik negara untuk Piala ini,” katanya menerusi video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Terdahulu, undian hari ini turut menyaksikan naib juara Piala AFF 2022 Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos diundi dalam Kumpulan B. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button