PH jemput semua penentang Muhyiddin pilih Anwar sebagai PM
Pakatan Harapan menjemput semua ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.
Dalam satu kenyataan terbaharu, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, semua pihak yang menentang Muhyiddin perlu bersama di meja rundingan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.
Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa mereka menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan dengan alasan pandemik Covid-19 sedang
memuncak.
“Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.
“Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahyiddin Mohd Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.
“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Katanya, amat penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.
“Ini supaya sebarang pengambil alihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” katanya.
Dalam kenyataan bersama itu mereka mendakwa, rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah yang sedang dihadapi negara.
Seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa
tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak COVID-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik.-SM