Pewaris Samsung Electronics berdepan hukuman penjara kerana rasuah
Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua setengah tahun ke atas Naib Pengerusi Samsung Electronics, Lee Jay Yong atas kesalahan melakukan rasuah.
Keputusan itu dibuat susulan perbicaraan semula kes rasuah Lee, 52, yang didapati memberi rasuah kepada rakannya, bekas Presiden Park Geun-hye yang turut dipenjarakan atas kesalahan rasuah pada 2017.
Mengikut kronologi kes, Lee didakwa membayar 43 bilion won kepada dua yayasan yang dikendalikan oleh Choi Soon-sil, rakan kepada Park untuk mendapatkan sokongan politik.
Lee bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mengakui bayaran itu dibuat sebagai sumbangan dari Samsung.
Pada tahun 2017, mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara.
Bagaimanapun, pada Februari 2018, Mahkamah Tinggi Seoul memutuskan untuk menangguhkan hukuman penjara dan membebaskan beliau setelah beliau menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada 1 tahun penjara.
Setelah 4 tahun kes ini dalam perbicaraan, Mahkamah Agung kemudian merujuk kembali kes itu ke Mahkamah Tinggi Seoul yang mengeluarkan keputusan pada hari ini.
Mengikut rekod, Lee meneruskan legasi memimpin Samsung Electronics sejak 2014 selepas kematian ayahnya kerana serangan jantung pada Oktober 2014.
Ekoran dari kes ini, Lee akan diketepikan dari membuat sebarang keputusan bagi syarikat Samsung Electronics buat sementara waktu.