Nasional

Petik sayur sendiri di Kebun Hidroponik Abi Agro, Perlis

Memperkenalkan agro-tourism di Perlis

PETIK sayur sendiri. Pilih yang mana suka, paling seronok tidak perlu penat menanam. Untuk lagi meriah, boleh ajak anak-anak melakukan aktiviti memetik sayur bersama-sama.

Aktiviti ini hanya boleh dilakukan di Kebun Hidroponik Abi Agro yang terletak di Kampung Tengah, Lorong Abi 3, Abi, Perlis.

MOHD ASHRAF SHUIB juga menghasilkan buku Teknik Hidroponik.

Pengasasnya, Mohd Ashraf Shuib, 40, berkata, idea “petik sendiri” sayur-sayuran ini tercetus kerana beliau mahu memperkenalkan konsep “agro-tourism” di kebun hidroponiknya.

“Pada 13 Ogos tahun lalu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kebun hidroponik ini,” katanya.

Mohd Ashraf berkata, semenjak itu kebunnya tidak pernah sunyi didatangi pengunjung yang mahu merasai pengalaman berada di kebun hidroponik dan memetik sendiri sayur-sayuran yang diingini.

Beliau juga berkata, hasratnya untuk membolehkan rakyat negeri Perlis merasa sendiri pengalaman memetik sayur di kebun hidroponik telah menjadi kenyataan.

Bukan itu saja katanya, sayur segar dari kebun ini juga bebas racun kimia sekaligus menjamin nilai pemakanan yang sihat.

Dua kakitangan Kebun Hidroponik, Zawawi Andah (kiri) dan Nashri Abu Bakar (kanan) melakukan kerja menimbang sayur yang dibeli pengunjung.

Beliau berkata, setakat ini tanaman utama adalah sawi dan pak choy serta tambahan sayuran lain seperti salad dan bayam.

Katanya, pengunjung boleh memetik mana-mana jenis sayur tetapi semua dijual dengan harga RM6 sekilogram (kg).

Katanya, biasanya kebun hidroponiknya dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

MOHD ASRAF SHUIB menunjukkan projek terbaharu hidroponik yang melibatkan tanaman sayur dan ternakan ikan air tawar.

Setakat ini Mohd Ashraf berkata, beliau menyediakan 5,000 lubang untuk tanaman sawi dan pak choy.

“Biasanya tanaman ini sudah boleh dipetik selepas 35 hari,” ujar beliau.

Bagi memastikan bekalan sayur tidak putus, kata Mohd Ashraf, ia ditanam secara berperingkat-peringkat.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Siti Rohana Harun, 48, dari Beseri merasa seronok dapat memetik sendiri sayur pilihannya.

“Ini kali pertama saya datang ke kebum ini. Saya teruja melihat sayur yang segar dan pastinya akan datang lagi,” kata guru ini yang juga meminati tanaman hidroponik. – SM

(Visited 914 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button