Nasional

Petani, penternak rugi akibat banjir kilat di Melaka sedia dibantu

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 25 Jun – Kerugian yang dialami petani dan penternak di negeri ini yang terjejas akibat banjir kilat
dua hari lalu mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak
Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memohon peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) bagi menyalurkan peruntukan kepada mereka yang terjejas teruk.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu laporan daripada Jabatan Pertanian Negeri berkaitan kejadian
tersebut untuk mengetahui jumlah mereka yang terjejas dan kerugian yang dialami.

Katanya, walaupun tidak ada bantuan khusus kepada mereka yang terjejas akibat bencana alam namun beliau
akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada MAFI bagi meringankan beban yang ditanggung.


Sehubungan itu beliau meminta petani dan penternak yang terjejas dan mengalami kerugian untuk segera
membuat laporan Jabatan Pertanian negeri ataupun Jabatan Pertanian Daerah masing-masing.

“Insyallah kita cuba mana yang boleh untuk bantu kerana sebelum ini pun kita ada juga memberikan bantuan
one-off kepada nelayan, petani dan penternak.

“Dari segi bencana ini, kita akan buat laporan untuk dihantar kepada MAFI bagi memohon apa yang boleh
dibantu tetapi setakat ini tidak ada bantuan khusus mereka yang terlibat dengan bencana alam.

“Kita ada menerima aduan tetapi saya belum dapat laporan penuh daripada Jabatan Pertanian Negeri dari segi
luas kawasan terjejas dan kerugian yang dialami oleh mereka akibat banjir kilat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Durian berkonsepkan Buffet Makan Sampai Puas di Brisu Courtyard, Hotel MITC, Ayer Keroh di sini semalam.

Program berakhir esok menawarkan harga RM48 untuk dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak.

Dalam kejadian banjir kilat yang melanda hampir seluruh daerah di negeri ini Khamis lalu menyebabkan
beberapa kawasan penternakan dan pertanian khususnya sawah padi ditenggelami air.

Yang teruk terkesan ialah di Kampung Paya Rumput Jaya, Kampung Seberang Gajah, Bukit Rambai; Kampung
Beringin, Alor Gajah dan Paya Luboh, Tanjung Kling.

Dalam pada itu beliau berkata, bekalan lembu untuk ibadah korban di negeri ini adalah mencukupi buat
menampung permintaan.

“Tidak ada masalah soal lembu tidak cukup kerana setiap tahun anggaran untuk ibadah korban sekitar 5,000
hingga 5,500 ekor dan tahun ini bekalan yang ada lebih daripada 7,000 ekor.

“Bekalan yang sedia ada sudah mencukupi dan kita tidak perlu mengimport lembu dari luar negara khususnya
dari Thailand,” ujarnya.

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button