Peruncit Bikin Onar, Kenakan Caj Potong Ayam Sesuka Hati Demi Untung Besar!
Sebelum ini pengguna cukup takut apabila cerita mengenai kenaikan harga ayam tersebar dengan luas kerana jika ia menjadi realiti, kos sara hidup juga akan meningkat.
Mujurlah ia ditenteramkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila kerajaan menegaskan penetapan harga siling ayam di pasaran akan diteruskan.
Namun berita yang kurang enak didengari adalah belum sampai 30 Jun atau 1 Julai, sudah ada peniaga dan juga peruncit membuat onar atas alasan menjaga kos.
Di beberapa lokasi dalam sekitar Lembah Klang sudah ada aktiviti peniaga mengenakan caj tambahan RM0.50 sehingga RM1.00 bagi permintaan untuk memotong ayam.
Sebelum ini, khidmat memotong ayam adalah percuma namun disebabkan permainan naik-menaik ini, ada yang mengambil kesempatan dengan lebih awal.
Kata mereka, ia bukanlah sesuatu yang salah dan pengguna boleh memilih untuk memotong ayam sendiri di rumah jika tidak mahu membayar kos pemotongan tersebut.