Pertemuan PM bersama YDPA selama lima minit sahaja adalah tidak benar
LAPORAN yang dikeluarkan portal Sarawah Report kononnya hanya pertemuan singkat diadakan Yang di-Pertuan Agong bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak benar.
Menurut laporan Agenda Daily yang memetik sumber Pejabat Perdana Menteri, pertemuan itu sebenarnya berlaku selama 45 minit dan berlangsung dalam keadaan tenang, tidak seperti yang digambarkan portal tersebut.
“Paling ketara mengatakan Perdana Menteri mengadap YDP Agong selama 5 minit, padahal ia berlangsung selama 45 minit.
“Hubungan diantara DYMM YDP Agong dan YAB Perdana Menteri amat baik. YDP Agong seorang yang bijaksana dan memahami keperluan sebuah kerajaan yang stabil,” kata sumber.
Menurut sumber, Muhyiddin turut membentangkan kepada Kabinet berhubung usul undi percaya dicadangkan semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong yang akan dibawa ke Parlimen pada September dan tuduhan berlaku penipuan tidak benar sama sekali memandangkan terdapat catatan minit mesyuarat semasa pertemuan tersebut.
“Perdana Menteri juga telah menyebutnya semasa mesyuarat kabinet tentang Baginda Tuanku berkenan undi percaya terhadap beliau dibawa ke Parlimen. Majlis menghadap berlangsung dalam suasana yang mesra dan berterus terang.
“Perkara-perkara ini biasanya dicatatkan dalam minit mesyuarat kabinet yang juga akan dibaca oleh Baginda Tuanku. Tak mungkin Perdana Menteri nak berbohong kepada kabinet mengenai butiran perbincangan beliau dengan Baginda Tuanku,” kata sumber lagi.
Tindakan laporan palsu tersebut disiarkan menurut sumber sebagai langkah pihak tertentu dalam UMNO yang mempunyai kepentingan peribadi dan berhasrat untuk terus menekan Ahli-Ahli Parlimen UMNO supaya menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
“Penyebaran berita palsu dan pembohongan ini sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen (MP) UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
UMNO semalam sudah memberi amaran kepada semua MP mereka untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.
Tular dalam media sosial semalam juga berhubung sepucuk surat yang menuntut menuntut Menteri dan Timbalan Menteri UMNO supaya meletak jawatan dengan segera. -SM