Nasionalpilihan

Persembahan demonstrasi ‘pukau’ pengunjung Karnival Maritim Perkasa

PERSEMBAHAN Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui teknik fast-roping diikuti letupan pyrotechnic serta pertunjukan aset laut dan udara milik Agensi ini telah memukau pengunjung yang hadir ke Karnival Maritim Perkasa 2024 di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, persembahan yang dipertontonkan kepada umum ini merupakan sebahagian tugasan yang digalas oleh pihak Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara selamat dan sejahtera.

Tambah beliau, peranan yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia merupakan salah satu daripada 10 fungsi yang terkandung dalam Kementerian ini iaitu memelihara keselamatan dan ketenteraman awam agar negara selamat daripada segala ancaman bahaya.

Jelas beliau, Karnival Maritim Perkasa 2024 antara platform penting untuk memberikan pemahaman kepada masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Karnival Maritim Perkasa 2024 di sini hari ini.

Turut hadir sama Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Pada majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan mock cheque tajaan daripada empat rakan strategik Maritim Malaysia terdiri daripada Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, AMP Corporation (M) Sdn Bhd dan KDN kepada Koperasi Maritim Berhad dalam menjayakan karnival ini.

Bertemakan “Melestarikan Warisan Maritim Negara” karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 ini turut dimeriahkan dengan forum agama, aktiviti kesenian & kebudayaan, tayangan teater, meet & greet bersama selebriti terkenal tempatan dan konsert nasyid oleh Rabbani, NowSeeHeart dan Fareez (Mentor).

Selain itu, program Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut diadakan dengan potongan harga barangan sehingga 30% bagi lebih 150 barangan keperluan asas harian seperti ayam, beras, telur ayam, ikan siakap, minyak masak botol, sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain.

Karnival ini turut dimeriahkan dengan 35 reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan seperti kaunter permohonan passport Jabatan Imigresen Malaysia (APMM), kaunter derma darah dan ujian saringan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), demonstrasi sebatan Jabatan Penjara Malaysia, pameran Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd selain hampir 100 gerai jualan produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan turut dibuka sepanjang karnival ini berlangsung. – SM

Artikel berkaitan > 19 tahun Maritim Malaysia laksana tanggungjawab jaga keselamatan perairan negara

(Visited 313 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button