Persatuan Belia Behrang Stesen anjur program kumpul dana beli van jenazah
PERSATUAN Belia Behrang Stesen berjaya menganjurkan Program Sembang Kopi Komuniti dan Liga Amal Tujuh Sebelah Tertutup Behrang Stesen yang diadakan bertujuan mengumpul dana membeli sebuah van jenazah.
Lebih menggembirakan persatuan apabila Tmbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon yang hadir menyempurnakan majlis perasmian mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk membantu merealisasikan pembelian van jenazah untuk kegunaan Masjid Raja Muda Musa, Behrang Stesen itu.
Antara lain dalam ucapannya juga, Datuk Dr Mah akan menyemak status padang bola dengan pihak pemaju yang ingin menjadikan kawasan perumahan serta berhasrat mengembalikan hak pengurusan padang futsal kepada Persatuan Belia Behrang Stesen.
“Selain itu saya akan cuba menyelesaikan isu banjir kilat dan berbincang denga Majlis Daerah Tanjung Malim untuk kebaikan masyarakat, ‘ katanya.
Sementara itu, Pengerusi Program, Mohd Syahrul Rahim berkata usaha mewjudkan van jenazah adalah rentetan daripada melihat pengurusan jenazah seorang rakannya yang menggunakan sebuah van jenazah masjid yang sudah uzur.
Sebagai usaha, katanya, timbul di hati anak-anak muda Behrang Stesen untuk mewujudkan Tabung Rayuan Pembelian Van Jenazah sebagai sumbang bakti kepada masjid di Behrang Stesen dengan mengadakan Kejohanan Amal Bola Sepak Tujuh Sebelah Behrang.
Dua mahasiswa dari Fakulti Sains Sukan dan kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijemput menjadi pengadil kejohanan bola sepak tujuh sebelah.
Katanya, Persatuan Belia Behrang Stesen yang dilantik sebagai duta Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan kejohanan bola sepak dengan memanggil semua anak muda Behrang Stesen pulang ke kampung selain menjayakan majlis Sembang Kopi Komuniti.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Mah Hang Soon yang cakna terhadap masyarakat terutamanya rakyat Tanjung Malim khususnya di Behrang Stesen yang prihatin memberi sumbangan terhadap usaha pembelian van jenazah,” katanya.
Beliau berkata antara matlamat program diadakan adalah untuk mengutip sumbangan tabung van jenazah untuk Masjid Raja Muda Musa II, mengadakan Hari Keluarga Anak Muda dari perantauan, mengatasi masalah banjir kilat akibat pembangunan tidak dilakukan secara mapan, mengembalikan pengurusan gelanggang futsal kepada persatuan belia serta persatuan menyerahkan mock check untuk bantuan membeli van jenazah.
Hadir sama , Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ( JPNIN) Perak, Mansor Mohd Hashim.
Sempena majlis Sembang Kopi Komuniti pula disediakan 14 meja yang melibatkan ahli politik, pemimpin penduduk, wakil kaum, wakil agensi kerajaan , dan wakil-wakil 110 pemain bola sepak dengan nama meja seperti Manchester United FC, Chelsea, Manchester City, PSG, Liverpool, Arsenal, Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich dan Juventus.
“Saya terharu dengan sahabat-sahabat apabila ke semua wang pendaftaran kejohanan iserahkan untuk tabung bantuan van jenazah sebagai sumbangan wakafnya kepada masjid,” katanya.