Sukan

Mohd. Al Jufferi iringi empat pesilat mara ke separuh akhir

Empat pesilat negara diketuai juara dunia tiga kali, Mohd. Al Jufferi Jamari berjaya melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, esok.

Dalam saingan suku akhir hari ini kesemua pesilat negara mudah melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan lawan masing-masing.

Mereka yang layak ialah juara bertahan, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang muncul satu-satu pesilat wanita melangkah ke separuh akhir diringi Mohd. Fauzi Khalid, Mohamad Khairi Azhar dan Muhammad Robial Sobri.

Aksi Siti Rahimah Mohamed Nasir (kiri) ketika berdepan Sudha Chauhan pada suku akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di MITC, Melaka.

Begitupun, kontroversi berlaku membabitkan perlawanan seorang lagi pesilat negara, Zulfazly Zulfakar yang tewas 19-23 kepada Abdul Raazaq Abdul Rashid dari Singapura bagi kelas E.

Kontinjen silat negara mempertikaikan keputusan memberi kemenangan kepada atlet dari Singapura itu kerana mendakwa berlaku kesilapan sewaktu pemberian mata oleh wasit yang bertugas di sepanjang tiga pusingan berlangsung.

Sehubungan itu, Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd. Arpan Shaari mengemukakan bantahan atas keputusan perlawanan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Al Jufferi menepati ramalan biarpun berhempas pulas sebelum dapat menewaskan Alvin T. Campos dari Fipina dengan keputusan 59-41 bagi kelas F.

Pemenang tiga pingat emas Sukan Sea itu berkata, dia hampir hilang sabar sewaktu berdepan Campos yang sengaja menyerang ke arah kecederaan bahu kanannya yang dialami sewaktu Sukan Sea Hanoi tahun lalu.

“Mujurlah saya dapat mengawal rasa marah atas nasihat pengurus dan jurulatih setelah beberapa kali pesilat dari Filipina itu melanggar peraturan melakukan terjahan yang tidak dibenarkan,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat aksi tersebut.

Bagi aksi separuh akhir esok, Mohd. Al Jufferi akan berdepan pesilat dari Algeria, Zetout Abdmelk yang menewaskan Muhammad Ammar dari Pakistan dengan catatan 55-11.

Sementara itu, Siti Rahmah yang menjuarai Kejuaraan Dunia 2016 di Bali Indonesia melangkah mudah ke separuh akhir dalam perlawanan berat sebelah memihak kepada pesilat negara.

Dia diberikan kemenangan percuma selepas lawannya Sudha Chauhan dari India menarik diri ketika aksi masuk ke pusingan ketiga sewaktu pesilat berasal dari Terengganu itu mendahului 40-1.

Di separuh akhir, Siti Rahimah akan bertemu pesilat Singapura, Nur Shaqira Sheik Alaudin yang sebelum itu mendapat bye.

Mohd. Fauzi yang menang 47-(-3) bagi kelas G ke atas Alvin Lewis dari Amerika Syarikat (AS) akan berdepan Suthat Bunchit dari Thailand yang menewaskan Joash M.Cantoria dari Filipina 62-14.

Sementara itu Mohamad Khairi yang bertanding bagi kelas B menang 23-2 ke atas Pankaj Gahlot dari India. – SM

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button