Politik

Perpaduan Melayu Islam perlu diperkasa, supaya kita tidak dipertanggungjawab di sisi Allah – Annuar

Tan Sri Annuar Musa menyambut baik kenyataan Pas bahawa parti itu tidak akan memusuhi Barisan Nasional (BN) kerana usaha memperkasakan muafakat Melayu Islam adalah amanah yang perlu dipikul dan dijawab di hadapan Allah.

Justeru Annuar menghargai pendirian Pas kerana memilih untuk tidak memusuhi BN meskipun tidak bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), adalah sesuatu perjuangan yang harus diteruskan.

“Terima kasih PAS dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas kenyataan bijaksana dan berhemah itu.

“Teruskan usaha memperkasa muafakat Melayu Islam supaya kita tidak dipertanggungjawabkan di sisi Allah SWT di akhirat nanti,” ujar Annuar dalam kenyataannya pada Isnin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga mengingatkan supaya Pas dan BN berperanan saling melindungi bukannya bermusuhan.

“Berusahalah sedaya upaya dan jangan berputus asa.

“Kita tidak perlu bermusuh.Kita saling melindungi sesama umat.Kenali musuh yang sebenar, sahut lambaian persahabatan,” kata beliau.

Semalam, Takiyuddin menegaskan Pas kekal dengan pendirian tidak pernah menganggap BN sebagai musuh walaupun tidak bekerjasama pada PRU15.

Setiausaha Agung Pas itu, sebaliknya berasakan musuh mereka sama ada Pas dan BN adalah Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak bermusuh, namun ini satu amalan demokrasi di mana kita ‘bermain di padang sama rata’.

“Jika kawasan tertentu dimenangi BN tidak mengapa, asalkan tidak jatuh kepada PH. Kita memang tidak bermusuh kerana kita kekalkan konsep penyatuan ummah.

“Amalan konsep penyatuan ummah walaupun tidak berkawan rapat, namun tidak bermusuh sama sekali,” katanya.

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button