Sukan

Perlis Woodpecker sapu bersih Kejohanan Woodball Terbuka UiTM Perlis

Pasukan Perlis Woodpecker menyapu bersih kejuaraan kategori Berpasukan Lelaki Terbuka dan juga Berpasukan Wanita Terbuka dalam Kejohanan Woodball Terbuka UiTM Cawangan Perlis 2022 Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan yang ke-79 DYMM Tuanku Raja Perlis yang berlangsung di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Arau dari 20-22 Mei 2022.

Pasukan Perlis Woodpecker A dibarisi Abu Hassan Adam, Mohd Faizal Othman, Zulkifli Said dan Suhaimi Ahmad mengungguli kategori lelaki manakala Qistina Mohd Reffal, Norrinda Ramli, Noryom Haslinda Senayan dan Anis Waheeda Adnan pula bagi kategori wanita.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis yang diadakan di Dewan Sri Semarak Kampus Arau.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Sementara itu, pasukan AWC Juniors A Perlis pula yang dibarisi Muhammad Azim Shaqil Azizan, Adam Mukhriz Azny Nizam, Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin dan Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadilah muncul juara bagi kategori Berpasukan Remaja Lelaki.

Pemenang-pemenang bagi pelbagai kategori lain yang melibatkan penyertaan dari UiTM, JUPEM, Pahang, Johor, Pulau Pinang, Malaysian Woodball Association (MWA), Kuala Lumpur dan Terengganu selain pasukan-pasukan tuanrumah dari Perlis ini adalah ;

1. Perseorangan Lelaki Terbuka : Johan – Abdullah Ahmad Paloh Hinai (Pahang), Naib Johan – Abu Hassan Adam (Perlis Woodpecker A) dan Ke-3 – Azhar Abd Wahab (Perlis Titan A).

2. Perseorangan Wanita Terbuka : Johan – Qistina Mohd Reffal (Perlis Woodpecker A), Naib Johan – Rosmawati Abidin (Perlis Woodpecker C) dan Ke-3 – Anis Waheeda Adnan (Perlis Woodpecker A).

3. Beregu Lelaki Terbuka : Abu Hassan Adam dan Mohd Faizal Othman (Perlis Woodpecker C).

4. Beregu Wanita Terbuka : Faridah Din dan Asmawana Aziz (Perlis Woodpecker E).

5. Beregu Campuran Terbuka : Mohd Faizal Othman dan Qistina Mohd Reffal (Perlis Woodpecker G).

6. Perseorangan Remaja Lelaki : Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadilah (AWC Junior A Perlis).

7. Perseorangan Remaja Perempuan : Putri Maisara Khairul Nizat (Terengganu).

8. Beregu Remaja Lelaki : Muhammad Imran Mohd Radhuan dan Muhammad Amin Danish Mazlan (Pahang A).

9. Beregu Remaja Perempuan : Anis Humaira Jasni dan Emylen Sofea Mohd Shukri (AWC Juniors Perlis), dan

10. Beregu Campuran Remaja : Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadilah dan Emylen Sofea Mohd Shukri (AWC Juniors B Perlis).

Empat pemain memperoleh ‘Gate In One’ iaitu Ariff Fadilah Ahmad Rozimi (AWC Seniors B Perlis), Muhammad Danial Hafiz Rosmanizam (AWC Juniors B Perlis), Nur Laili Idani Rosli (Terengganu) dan Yab Bee Guan (MWA).

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis menitahkan bahawa penganjuran sukan woodball seperti ini mampu menjadi wahana ke arah melahirkan atlit yang berpotensi untuk mencatat kejayaan di pentas antarabangsa. Penganjuran yang cukup baik ini juga merupakan wadah bagi penganjuran kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang seperti “Malaysian Woodball International Open Championship”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga yakin ia dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan pengalaman yang telah ditimba melalui kejohanan kali ini. Baginda juga berharap agar untuk penganjuran yang akan datang, lebih ramai lagi peserta dari seluruh negara akan turut serta agar kita dapat mencungkil lebih banyak bakat-bakat baharu dalam sukan woodball ini disamping mempupuk semangat kesukanan di kalangan masyarakat.

(Visited 677 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button