Alam SekitarNasionalNegeriPencemaran

Perlis tidak alu-alukan pelancong kotorkan pesisiran pantai

JANGAN datang ke Perlis kalau sekadar mahu membuat kotor. Perlis tidak suka “pengotor” sekaligus tidak mengalu-alukan pelancong yang suka membuang segala bekas makanan dan minuman sehingga mencemarkan pesisiran pantai Kuala Perlis dengan sampah-sarap.

Demikian peringatan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Nuruhisham Yaakob pada sidang akhbar selepas perasmian majlis Hari Konserversi Marin (Save Our Sea) anjuran Jabatan Perikanan Perlis di Dataran Angkatan Pertahanan Awam di Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Perikanan Perlis, Suffian Ahmad.

Aktiviti mengutip sampah sempena Hari Konserversi Marin (Save Our Sea) anjuran Jabatan Perikanan Perlis di Dataran Angkatan Pertahanan Awam di Kurung Tengar, Kuala Perlis.

Nurulhisham berkata, setakat ini hasil gotong-royong yang dijalankan telah mengumpul paling banyak adalah bekas makanan dan minuman.

Beliau berkata, ini adalah disebabkan oleh sikap pelancong yang tidak ada kesedaran untuk menjaga ekosistem hidupan marin dan pesisiran pantai.

“Sudahlah persisiran pantai tidak dapat dibersihkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun ditambah lagi dengan sampah-sarap baharu,” katanya.

Beliau berkata, akibat sampah yang banyak telah mengakibatkan jumlah ikan semakin berkurangan di perairan Perlis.

“Ini mengakibatkan pendapatan nelayan pesisiran pantai merosot sehingga 30 peratus,” katanya.

Katanya lagi, ikan kembung (temenung), gelama dan tamban yang dahulunya banyak kini bukan sahaja berkurangan malah saiz jauh lebih kecil.

Beliau mencadangkan supaya jabatan kerajaan di negeri ini menjadikan pesisir pantai Kuala Perlis sebagai “anak angkat”.

Tambah beliau, masing-masing perlu diagihkan dengan keluasan tertentu supaya dapat menjaganya selain melakukan aktiviti membersih sampah-sarap lebih kerap.

Pada majlis ini juga diadakan pertandingan mengutip sampah di mana tempat pertama disandang oleh MyKP Kurung Tengar dengan 103.15 kilogram (kg), kedua oleh MyKP Kuala Sanglang (77.35 kg), ketiga oleh MyKP Kuala Perlis (72.15 kg) dan MyKP Sungai Baru (60.80 kg). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button