Nasional

Mesej dan amanat Menteri Merdeka Kuartet, Rabu ini di Astro Awani

Program Bual Bicara Khas sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022

MERDEKA Kuartet terdiri daripada empat menteri mewakili kaum dalam Keluarga Malaysia akan muncul secara langsung dalam program Bual Bicara Khas pada Rabu ini (lusa).

Empat Menteri yang menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Mereka akan membincangkan isu perpaduan dan patrotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022.

Annuar juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM 2022 dan mereka akan diwawancara dalam Rancangan Merdeka65 dan bakal disiarkan secara langsung di Astro Awani pada pukul 8.30 malam.

Pengarah Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan selaku Sekretariat Media dan Publisiti HKHM 2022, Datuk E. Sivabalan berkata, perbincangan Menteri Kuartet ini nanti juga akan berkisar tentang semangat Keluarga Malaysia dan Prinsip Rukun Negara.


Beliau berkata, fokus mengenai pentingnya seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah bagi memastikan sikap kebersamaan dan semangat Keluarga Malaysia dipupuk dalam hati rakyat negara ini.

“Sama-samalah kita semua tunggu mesej dan amanat yang nak disampaikan oleh keempat-empat menteri nanti,” katanya. – SM

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button