Agama

Perlis perketat SOP program imarah masjid

Berkuat kuasa hari ini selasa 13 Julai 2021, aktiviti kelas pengajian, kuliah dan sebagainya dibenarkan semula di masjid-masjid seluruh negeri Perlis dengan SOP seperti bacaan Al-Quran dan terjemahan selepas solat subuh dilaksanakan dalam tempoh 15 minit, kuliah maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak dan tiada penceramah yang terlibat dalam aktiviti rentas sempadan dibenarkan untuk menyampaikan ceramah.

Aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid tersebut adalah dengan kurnia limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri ini ketika fasa 2 Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan dan segala ketetapan sedia ada dikekalkan kecuali SOP Penjarakan untuk solat dikurangkan daripada 2 meter kepada 1.5 meter.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat sepertimana yang dihasratkan oleh para penyumbang zakat melalui MAIPs kepada asnaf, Kassim Mat Noh, 81 tahun sempena program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 31 bagi tahun 2021’ pada petang semalam.

Kunjungan ke atas Kassim yang tinggal bersama dua orang anak di Kg Sempering dekat Kangar dan merupakan penerima bantuan bulanan MAIPs dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis
tersebut adalah bersempena program rutin kayuhan baginda di sekitar kawasan kariah Masjid Al Amin, Sempering yang dimulakan kembali setelah terpaksa dihentikan sementara selama kita-kira dua bulan atas sebab ‘lockdown’.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, jamuan di masjid boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna untuk dibawa pulang sahaja.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

Seramai 30 orang asnaf terpilih turut menerima sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang pada kali ini yang diserahkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra melalui amil kawasan berkenaan, Senawi Saad dengan nilai penuh RM21,000.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button