AgamaNasionalNegeri

Perlis laksana Solat Aidilfitri di tanah lapang – Pemangku Raja Perlis

PERLIS menggalakkan Solat Aidilfitri di seluruh negeri ini pada tahun ini dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan masanya mulai pukul 8 pagi.

Perkara ini dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.

Titah Baginda, pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing.

“Pelaksanaan ini juga selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Walau bagaimanapun titah Baginda, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid jika terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.

Tambah Baginda, bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

“Jika keadaan cuaca yang tidak sesuai, Solat Aidilfitri akan dilaksanakan dalam ruang dalam masjid kariah masing-masing mulai pukul 8.15 pagi,” titah Baginda.

Baginda bertitah, hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi.

“Memandangkan terdapat peningkatan jumlah kes Covid-19 seperti yang dilaporkan di media, maka para jemaah digalakkan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu seperti memakai pelitup muka (face-mask) serta membawa sejadah sendiri,” titah Baginda.

Titah Baginda, bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau pula, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau seperti ketetapan masa di atas.

“Jika cuaca tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan diadakan di ruang solat Masjid Negeri Arau,” titah Baginda.

Di samping itu, titah Baginda, masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

“Jika 1 Syawal 1444H adalah pada Hari Jumaat bersamaan 21 April 2023, maka jemaah yang telah hadir Solat Aidilfitri boleh memilih untuk Solat Jumaat atau Solat Zohor berdasarkan riwayat yang sahih daripada para salaf al-saleh,” titah Baginda.

Baginda bertitah, sebarang keperluan untuk penyelarasan atau persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidilfitri, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di Laman facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Besarlah harapan beta agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini sentiasa dijunjung tinggi, diamati serta dipatuhi oleh seluruh rakyat yang dikasihi,” titah Baginda.

Baginda juga menggunakan kesempatan ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan DYMM Tuanku Raja Perlis. Alhamdulillah dan syukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan Baginda adalah baik dan dalam ‘afiyah,” titah Baginda.

“DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis yang sentiasa berada di sisi Baginda, turut bersyukur atas perkembangan kesihatan amat memberangsangkan,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada semua.

“DYTM Raja Puan Muda Perlis serta seluruh usrah kerabat DiRaja mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1444H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”, titah Baginda. – SM

BACA Perlis laksanakan lagi solat sunat Aidilfitri di tanah lapang

BACA Rakyat Perlis solat Aidilfitri di tanah lapang

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button